(Dari kiri) Wang Zhiyi (China), Jin Wei dan Phittayaporn Chaiwan (Thailand) bersama pingat masing-masing.
(Dari kiri) Wang Zhiyi (China), Jin Wei dan Phittayaporn Chaiwan (Thailand) bersama pingat masing-masing.
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet wanita pertama meraih emas di temasya Sukan Olimpik Belia (YOG), yang berlangsung di Buenos Aires, Argentina.

Atlet berusia 18 tahun itu beraksi cemerlang untuk menundukkan pemain China, Wang Ziyi 16-21, 21-13, 21-19 dalam acara perseorangan wanita hari ini.

Kejayaan itu meletakkan Jin Wei berada di kelas tersendiri apabila muncul pemain badminton wanita pertama merangkul gelaran juara remaja dunia 2015, bergelar pemain nombor satu remaja dunia pada 2016 dan terbaru merangkul emas di YOG.

Mengulas mengenai kejayaannya itu, Jin Wei berkata, dia agak tertekan pada set pertama dan merasakan akan turut tewas di set kedua, sebelum mendapat rentak untuk bangkit memberi tentangan semula.

"Saya rasa saya akan tewas pada set kedua, tapi saya berusaha untuk mengurangkan kesalahan dan akhirnya berjaya membawa perlawanan ke set penentuan.

"Keputusan ini membuatkan saya mahu berusaha lebih keras di masa depan," kata Jin Wei yang turut merangkul emas ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang lalu.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei juga pernah meraih emas ketika temasya berlangsung di Nanjing, China empat tahun lalu.

Dia meraih emas dalam acara beregu campuran bergandingan bersama pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau namun emas itu tidak dikira dalam pungutan pingat negara kerana mereka bersaing di bawah bendera negara campuran (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan).

  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 10:00 AM