ALEC Benjamin semakin mendapat tempat di hati peminat. FOTO Ihsan Warner Music Malaysia
ALEC Benjamin semakin mendapat tempat di hati peminat. FOTO Ihsan Warner Music Malaysia
Georgie Joseph

Bertahun-tahun mencuba nasib dan tidak lelah menjual muziknya, usaha penyanyi dari Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat ini semakin menampakkan hasil.

Alec Benjamin atau Alec, 24, kini mengorak langkah dalam arus perdana bagi mengukuhkan namanya.

Malah, dia berjaya memancing perhatian peminat seluruh dunia yang jelas menyukai muzik dipertaruhkan.

Namun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Let Me Down Slowly itu tidak sekali-kali alpa, sebaliknya menganggap perjalanannya masih jauh.

Biar namanya kerap didendang peminat, dia tidak mahu terperangkap dalam ruang selesa kerana menyedari masih banyak perlu diperbaiki.

“Tiada apa yang layak saya banggakan setakat ini sebaliknya perlu melipat gandakan usaha kerana kembara saya masih jauh.

“Terutama, penulisan lagu dan corak persembahan pentas, saya kena perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Biarpun kini bernaung bawah label terkemuka, Alec pernah melalui fasa sukar sebelum berjaya mencipta nama.

Sebelum masuk arus perdana, Alec pernah menyanyi di jalanan termasuk di kawasan parkir.

Mengimbau semula kenangan itu, dia mengakui tidak pernah menyangka akan berada di kedudukan sekarang.

Pengalaman banyak mengajarnya untuk sentiasa bersikap rendah diri malah tidak kesah menjayakan persembahan kecil.

“Pengalaman itu memang sangat luar biasa dan tidak mungkin saya lupakan. Ia buat saya lebih menghargai apa yang saya ada dan capai setakat ini.

“Semestinya, ada banyak perubahan yang baik jika dibandingkan dengan awal kemunculan dulu.

“Bahkan saya berpeluang menjayakan persembahan di hadapan ramai penonton dan masuk TV. Ia sangat menakjubkan.

“Namun, saya berbesar hati jika ditawarkan beraksi di pentas kecil. Tak mengapa kerana saya bermula dari bawah.

“Kalau ada hanya dua penonton pun saya tidak kesah dan akan tetap meneruskan persembahan sepenuh hati untuk mereka,” katanya.

Bagi Alec, prinsip yang perlu dipegang setiap pemuzik adalah mereka perlu berani menjual produk biarpun tidak sesempurna mana.

Menurutnya, tidak perlu melengahkan perkara itu memandangkan rezeki tidak mengenal masa.

“Satu nasihat saya kepada pemuzik muda, jangan takut untuk memperdengarkan muzik kalian.

“Kita tidak boleh tunggu hingga karya kita sempurna baru mahu perkenalkan kepada pendengar.

“Sebaliknya, biarlah proses menyempurnakan muzik kita berlangsung seiring dalam tempoh itu.

“Apa yang penting, bagi dulu apa kita ada dan tak perlu simpan,” katanya.

TIDAK akan mudah lupa diri. FOTO Ihsan Warner Music Malaysia
TIDAK akan mudah lupa diri. FOTO Ihsan Warner Music Malaysia

Mahu duet dengan Kaka Azraff

Tahun ini jadual kerja Alec sangat padat. Dalam tempoh beberapa bulan ini dia terbang ke banyak negara bagi memenuhi undangan persembahan.

Meski kurang rehat, dia teruja apabila setiap tempat yang dikunjungi memberi perspektif baru termasuklah Malaysia. Bahkan, Alec gembira berpeluang muncul di pentas akhir sebuah program realiti di Malaysia baru-baru ini.

“Sebenarnya saya tidak boleh berpisah lama dengan ibu bapa. Hubungan kami sangat rapat dan saya sentiasa merindui mereka.

“Bagaimanapun, apabila melihat budaya di sini (Malaysia) yang mana semua orang rapat seperti keluarga, saya kagum.

“Saya sangat berbesar hati dapat muncul dalam program di negara ini. Mula-mula bimbang juga memikirkan sambutan barisan artis yang bertanding dan penonton terhadap kehadiran saya. Maklumlah, saya orang luar.

“Rupanya jangkaan saya meleset apabila semua artis mesra dan melayan saya dengan baik. Saya juga harus puji kerana mereka sangat berbakat malah saya sukakan Sarah Suhairi kerana vokalnya sangat istimewa,” katanya.

Alec juga mendedahkan teringin bekerjasama dengan beberapa penyanyi termasuklah Kaka Azraf yang disifatkan cukup berbakat.

“Saya teringin berduet dengan Chris Martin, vokalis Coldplay. Mereka band idola saya. Begitu juga Jazon Mraz, harap suatu hari nanti saya dapat tulis lagu bersamanya.

“Saya juga kagum dengan kemampuan Kaka selepas mendengar muziknya. Dia pun ada dalam senarai artis yang saya teringin bekerjasama pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 6:00 AM