Elya (dua dari kanan) bersama Che Muhammad Alif (kanan) yang menghidap leukemia.
Elya (dua dari kanan) bersama Che Muhammad Alif (kanan) yang menghidap leukemia.
Shahrinnahar Latib


RUNTUN hati ibu bapa apabila melihat anak yang dulunya ceria dan aktif bersukan kini perlu meneruskan episod rawatan demi rawatan selepas tiba-tiba disahkan menghidap leukemia.

Itu hakikat terpaksa dihadapi pasangan suami isteri, Che Arifin Salleh, 40, dan Elya Maslyna Mohd Kusaiseri, 41, selepas anak kedua mereka, Che Muhammad Alif Irfan, 12, menghidap penyakit berkenaan awal tahun ini.

Elya Maslyna berkata, mereka tidak pernah menyangka anak yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap yang aktif dalam sukan sebelum ini menderita penyakit itu selepas mengadu mengalami sakit bagai dicucuk jarum di kaki ketika berjalan.

“Pada akhir tahun lalu, anak tiba-tiba mengadu sakit kaki, tidak boleh pijak lantai. Dia kata macam kena cucuk jarum. Semakin lama semakin teruk menyebabkan saya membawa ke sebuah klinik kerajaan.

“Mula-mula doktor hanya bagi tahu mungkin masalah otot, dia hanya bagi ubat tahan sakit dan ubat sapu. Namun dua minggu kemudian, anak masih sakit lagi dan saya bawa lagi ke klinik berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suri rumah dan ibu kepada empat anak itu berkata, kali ini doktor memberitahu kaki anaknya yang baru selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kemungkinan patah sebelum diminta membuat rawatan selanjutnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Namun di HTAA, jawapan doktor tetap sama, mungkin disebabkan masalah otot. Saya ulang-alik sebanyak tiga kali ke HTAA untuk membuat pemeriksaan sebelum anak saya diambil darah untuk dibuat ujian kesihatan.

“Selepas keputusan ujian darah keluar, doktor mengesahkan dia menghidap leukemia sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu untuk menjalani rawatan lanjut termasuk kemoterapi,” katanya yang tinggal di Permatang Badak di sini.

Katanya lagi, selepas rawatan kemoterapi, anaknya cepat lesu dan lebih banyak terbaring malah dikuarantin di tempat tumpuan orang ramai bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa terkawal.

“Sebagai ibu, pasti saya susah hati. Malah saya juga berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Namun Alhamdulillah, keadaannya kini semakin baik selepas menjalani lebih 20 sesi kemoterapi,” katanya.

Sementara itu, Elya Maslyna berharap ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kronik sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan ujian ini terutama untuk melihat anak mereka sembuh daripada penyakit itu.

“Jangan kita berputus asa dalam memastikan anak kita kembali sembuh. Apa yang penting adalah kita sentiasa positif dan berdoa selalu supaya anak kembali sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 7:29 AM