BERBUKA puasa di hospital.
BERBUKA puasa di hospital.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP tahun, Ramadan disambut secara sederhana oleh Farhana Amira Khairol Azhar, 31, bersama keluarganya.

Seperti keluarga lain, berbuka di rumah terutama pada hari pertama puasa sudah menjadi amalan sejak dahulu lagi.

Biarpun tinggal berjauhan dengan suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur, dia tetap gembira dapat meraikannya bersama ibu dan dua anaknya di kediaman mereka di Kulim, Kedah.

Bagaimanapun tahun ini, pada hari pertama Ramadan, Farhana Amira terpaksa berbuka puasa di wad hospital.

Dia perlu berada di sisi anak ketiganya, Muhammad Iman Rizqi Muhamad Izar, 2, yang harus menjalani kemoterapi selepas disahkan menghidap leukemia pada Disember tahun lalu.

REDA dengan ketentuan Ilahi.
REDA dengan ketentuan Ilahi.

Ini adalah pengalaman pertama dilalui ibu kepada tiga anak ini seumur hidupnya, apabila perlu berpuasa di hospital.

Dia bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan hanya mengharapkan anaknya kembali pulih seperti seperti biasa.

Farhana Amira berkata, semuanya bermula pada September tahun lalu apabila anaknya secara tiba-tiba mengadu sakit di kaki sehingga tidak dapat berjalan selain mengalami bengkak di kaki dan tangan.

SEBELUM jalani pembedahan membuang ‘chemo port’.
SEBELUM jalani pembedahan membuang ‘chemo port’.

Katanya, dia kemudian membawa anaknya itu ke hospital sebanyak dua kali sehingga terpaksa menjalani imbasan X-Ray namun doktor maklumkan tiada apa-apa masalah.

"Bagaimanapun anak masih lagi tidak boleh berjalan. Kemudian pada suatu ketika anak mengadu terlalu sakit di bahagian yang bengkak sehingga tidak boleh tidur, sebelum anak terus ditahan di wad.

"Pemeriksaan lanjut menerusi sampel darah yang diambil mendapati sel darah abnormal sebelum anak dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Doktor minta kebenaran mengambil air tulang sum sum dan selepas itu anak disahkan menghidap leukemia ," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

ULSER yang dialami Muhammad Iman selepas jalani kemoterapi.
ULSER yang dialami Muhammad Iman selepas jalani kemoterapi.

Menurutnya, dia menangis kerana tidak menyangka anaknya yang aktif dan dilahirkan normal menghidap penyakit berbahaya itu.

"Sejak itu, hospital sudah menjadi rumah kedua, kerana saya perlu berulang-alik ke sana untuk anak menjalani rawatan termasuk kemoterapi. Saya juga berhenti kerja sebagai kerani secara sukarela untuk menguruskannya.

"Pernah satu ketika kami duduk di hospital selama 16 hari selepas anak diserang demam panas akibat jangkitan kuman," katanya.

Sebagai ibu, dia sebak melihat keadaan anaknya yang perlu menanggung kesakitan pada usia begitu muda.

MASIH mampu tersenyum.
MASIH mampu tersenyum.

"Luluh hati melihat rambutnya gugur dan mulut dipenuhi ulser selepas jalani kemoterapi.

"Anak ada mengadu sakit dan bertanya kenapa kena cucuk, saya hanya mampu memujuknya supaya kuat untuk cepat sihat dan dapat kembali ke rumah, bermain dengan abangnya," katanya.

Tambahnya, sepanjang berada di wad, dia dapat mengenali lebih ramai ibu bapa yang senasib dengan dirinya.

"Melihat mereka yang sudah lama berdepan dengan dugaan ini, membuatkan saya lebih kuat dan bersyukur.

SUMBANGAN juadah berbuka dan sahur daripada pihak Friend of Chilhood Cancer Northern-M di hospital.
SUMBANGAN juadah berbuka dan sahur daripada pihak Friend of Chilhood Cancer Northern-M di hospital.

"Malah mereka banyak berkongsi pengalaman untuk menguruskan anak yang menghidap penyakit ini," katanya.

Katanya, dua hari menjelang Ramadan, dia perlu menemani anaknya menjalani kemoterapi dan sudah menjangkakan berpuasa di hospital.

"Biarpun tidak semeriah berpuasa di rumah, saya gembira kerana dapat berbuka puasa dan bersahur bersama wanita yang senasib dengan saya.

"Malah makanan turut disediakan secara percuma oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian yang prihatin dengan nasib kami dan pesakit di sini," katanya.

Dia bersyukur kerana kini melihat keadaan anaknya kembali aktif selepas jalani proses kemoterapi baru-baru ini.

"Melihat dia boleh berjalan dan bermain membuatkan saya lega. Namun dia masih perlu jalani rawatan kemoterapi untuk peringkat seterusnya yang dikatakan lebih sakit.

"Saya hanya mampu berdoa sahajalah supaya semuanya berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:20 AM