AKSI Nabila pada Parti Pijamas Nabila Razali di Hotel Royal. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
AKSI Nabila pada Parti Pijamas Nabila Razali di Hotel Royal. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

SEPANJANG pembabitannya dalam bidang seni, penyanyi dan pelakon Nabila Razali tidak lekang daripada dugaan.

Kemampuannya sebagai penyanyi sering dipertikaikan dan dianggap tidak mencukupi untuk bergelar penyanyi.

Bagaimanapun, Nabila, 25, enggan terus memikirkan perkara terbabit dan menyifatkan semua itu ada hikmah di sebaliknya.

Baginya, dia tidak perlu berasa kerdil, apatah lagi mahu membandingkan dirinya dengan penyanyi hebat lain.

Penyanyi lagu Pematah Hati ini sebaliknya berjanji akan menggunakan segala ruang yang diberikan kepadanya.

Dia mengakui dirinya perlu lebih banyak mensyukuri peluang diberikan tanpa ada keraguan.

“Saya lebih suka berfikir bahawa setiap artis ada kelebihan sendiri yang berjaya menempatkan mereka di tahap masing-masing.

“Apapun, saya tahu kenapa Nabila Razali berada dalam industri muzik. Lebih baik saya fokuskan kepada kelebihan sendiri dan menggunakan sebaik-baiknya.

“Saya bertuah apabila sentiasa mendapat kepercayaan dan tidak putus rezeki sepanjang bertapak dalam industri muzik. Saya harus berikan kredit kepada pihak pengurusan yang terus membimbing, membentuk dan menjadikan saya lebih baik,” katanya.

Bakal tampil dengan single baru, Nabila tidak mengiyakan atau menidakkan sama ada akan tampil dengan gimik sebagaimana lagu Pematah Hati.

Menurutnya, timbul juga sedikit kebimbangan, apatah lagi bab gimik dalam kalangan artis sangat sensitif.

Penyanyi berkenaan bagaimanapun berjanji tidak akan melampaui batas jika tampil dengan gimik sekalipun.

“Sejujurnya, saya pun masih tidak sangka betapa besar impak gimik yang dibuat untuk Pematah Hati. Percaturan itu sekali gus memberikan kelebihan kepada kejayaan lagu berkenaan.

“Namun, saya tahu percaturan sebegitu kena perlu dibuat dengan berhati-hati tanpa menyinggung mana-mana pihak. Kita tidak boleh membabitkan satu perkara yang bercanggah dengan sensitiviti masyarakat.

NABILA bermesra dengan sebahagian peminatnya pada Parti Pijamas Nabila Razali di Hotel Royal. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
NABILA bermesra dengan sebahagian peminatnya pada Parti Pijamas Nabila Razali di Hotel Royal. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

“Untuk single baru nanti, saya tidak pasti sama ada akan ada gimik atau tiada. Ini disebabkan fokus utama kami adalah untuk memastikan lagu itu bakal diterima baik berdasarkan kualitinya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu berkenaan, dia dan pengurusannya masih dalam proses untuk memilih judul paling tepat.

“Kami sudah fikirkan beberapa judul yang mampu memberikan impak sebagaimana Pematah Hati. Orang lebih banyak kenal lagu itu dengan frasa Cumi Cumi berbanding judul sebenarnya.

“Disebabkan itu kami terfikir untuk menggunakan frasa yang lebih catchy supaya senang diingati pendengar. Lagu baru itu nanti cukup berbeza dengan Pematah Hati dan menyerlahkan sisi berbeza saya.

“Sekali lagi saya memberikan kepercayaan kepada sahabat baik, Hael Husaini dan Ezra Kong mencipta lagu berkenaan. Jujur, saya sangat puas hati dengan karya itu,” katanya.

Peminat sentiasa jadi keutamaan

Demi menghargai peminatnya yang tidak putus memberi sokongan terhadap kariernya, Nabila juga mengadakan sesi intim dan santai bersama mereka, baru-baru ini.

Pada acara Pyjamas Party With Nabila Razali itu, seramai 20 peminat bertuah meluangkan masa bersamanya melakukan aktiviti termasuk menonton telemovie Pengantin Lari Culik Artis lakonannya bersama Syafiq Kyle.

Menurut Nabila, adalah penting untuknya sentiasa mendahulukan peminat terutama yang menyokongnya sejak awal kemunculan lagi.

“Saya tidak dapat menggambarkan betapa bersyukurnya saya apabila ada peminat yang benar-benar jujur menghargai bakat saya. Biar tidak ramai sekalipun, tapi mereka yang sanggup berhujan dan berpanas demi saya.

“Hakikatnya, banyak muka yang saya kenal dan ingat disebabkan kesanggupan mereka hadir menyokong setiap acara membabitkan saya. Bahkan, mereka sanggup datang dari jauh dan saya sangat tersentuh.

“Lebih membuatkan saya tersentuh, merekalah yang tidak henti menyokong sejak saya bertanding dalam Akademi Fantasia. Saat saya rasa sedih dan berduka, merekalah yang akan beri saya kata-kata semangat,” katanya. - Georgie Joseph

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 5:29 AM