NABILA Razali. FOTO Mahzir Mat Isa
NABILA Razali. FOTO Mahzir Mat Isa
Rudy Imran Shamsudin


Penyanyi dan pelakon Nabila Razali kini hangat dengan klip video single terbarunya berjudul Pematah Hati. Menariknya lagu terbaru nyanyian bintang yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia 2013 itu menjadi fenomena gara-gara gimik kecewa cintanya dengan pelakon Aedy Ashraf yang ditampilkan sebagai pasangannya.

Tidak dinafikan, gimiknya yang awalnya menunjukkan beberapa gambar mesranya di laman sosial bersama Aedy membuatkan umum tertanya-tanya adakah benar mereka bercinta.

Beberapa hari kemudian, Nabila memuat naik pula videonya yang menangis kerana dikecewakan Aedy. Sesungguhnya lakonan yang cukup menyakinkan itu membuatkan hampir semua orang percaya.

Sehingga hari klip video Pematah Hati dilancarkan, ternyata gimik yang dilakukan itu berjaya apabila dalam 24 jam saja, sejuta orang menontonnya. Kini selepas seminggu berlalu, jumlah tontonan Pematah Hati sudah mencecah hampir tiga juta orang.

Peminat mungkin boleh menerima apa yang ketawa dilakukan Nabila dan syarikat rakamannya Seventeen Eleven, tetapi tidak penggiat seni lain. Ramai yang meluahkan apa yang dilakukan mereka merendah-rendahkan karya itu sendiri.

Gimik terbabit membuatkan orang menerima lagu Pematah Hati bukan kerana kualiti sebaliknya ‘gula-gula’ yang cuba dihidangkan atas gosip murahan. Ia secara tidak langsung memberi impak tidak baik buat industri.

Mengulas dakwaan dibuat penggiat seni itu, kata Nabila, sebenarnya apa yang dilakukan itu adalah untuk menjelaskan kepada pendengar mengenai maksud lagu Pematah Hati yang cuba disampaikan.

“Umum boleh mengatakan apa saja, tetapi ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran yang cuba dilakukan syarikat rakaman dan saya.

“Sejujurnya saya melihat perkara ini pada sudut lebih positif. Sebenarnya gambar kemesraan antara saya dan Aedy dan video kononnya dikecewakan oleh Aedy, sebenarnya kami cuba menyampaikan sesuatu kepada umum,” katanya.

Pada awalnya kata Nabila, memang ramai pihak tertanya-tanya dan membuatkan umum sedar seperti ada sesuatu yang berlaku.

“Sebaik saja pelancaran klip video dibuat dan dimuat naik ke laman YouTube, mereka mula tahu apa sebenarnya. Pada waktu sama, mereka mula menerima apa yang saya cuba sampaikan menerusi Pematah Hati kerana mereka sudah faham menerusi gambar dan gimik video yang saya muat naik sebelumnya,” katanya.

Dalam kehangatan sambutan diterima klip video Pematah Hati sebaik saja dimuat naik ke laman sosial, ramai juga pihak yang mengkritik gimik dilakukan.

Ditanya tidakkah dia tertekan membaca segala komen negatif yang diberikan itu, kata Nabila, pada peringkat awal dia hanya gelak apabila membacanya.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan apabila situasi menjadi semakin teruk membuatkan saya berasa tertekan. Cuma niat saya satu saja selain gimik, saya mahu pendengar menghayati dengan baik lagu yang saya dendangkan itu.

“Ada pelbagai cara untuk seseorang pengkarya itu memberikan pemahaman kepada pendengar untuk memahami apa yang cuba disampaikan.Ini adalah cara saya dan mengharapkan ia diterima baik,” katanya.

NABILA Razali. FOTO Mahzir Mat Isa
NABILA Razali. FOTO Mahzir Mat Isa

Nafi bercinta dengan Aedy

Sebelum gambar kemesraan antara Nabila dan Aedy tersebar, sudah ada yang bertanyakan sejauh mana kebenaran kedua-dua artis muda ini bercinta.

Ramai juga yang tidak percaya Nabila dan Aedy hanya menunjukkan kemesraan semata-mata untuk menjayakan klip video Pematah Hati.

Kalau dihayati tentu ada yang menyedari memang antara dua insan seni ini ada hati dan perasaan antara satu sama lain. Malah, mereka berdua langsung tidak menunjukkan rasa ‘canggung’ dalam memaparkan kemesraan antara mereka.

Apatah lagi ketika ditemui, Nabila dengan jujur berkata, dia sendiri memilih Aedy untuk menjadi pasangannya dalam klip video terbabit dan mencadangkan kepada syarikat rakamannya dan pengarah Pematah Hati untuk melamar Aedy.

“Kalau benar ada yang kata kami nampak betul-betul seperti sepasang kekasih bermakna Aedy sudah melakukan tanggungjawabnya dengan sangat baik,” katanya.

Ditanya mengapa dia sendiri memilih Aedy, alasan diberikan Nabila adalah sejak awal kalau dilihat daripada wajah dan karakter pelakon semakin mencipta nama itu, ciri-ciri ‘pematah hati’ itu memang ada padanya.

Didesak lagi mengenai sejauh mana dia dan Aedy menjalin hubungan cinta, Nabila dengan tegas memberitahu antara dirinya dan aktor itu tidak ada hubungan istimewa.

“Saya tidak mahu komen panjang mengenai perkara ini kerana kita tidak tahu jodoh pada masa akan datang. Kalau saya kata tidak, buatnya Allah ‘pusing’ hati dan betul-betul saya bernikah dengan dia, nanti saya termakan sumpah pula.

“Cuma buat masa sekarang saya dengan Aedy tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Kami hanya rakan sesama artis. Saya berterima kasih kerana dia sudi bekerja dengan saya untuk menjayakan klip video Pematah Hati,” katanya.

Kata Nabila, sepanjang pembikinan klip video itu, Aedy memberikan komitmennya sepenuh hati. Disebabkan itu juga penonton dapat melihat lakonan mereka berdua benar-benar hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 3:09 AM