GAMBAR kiri, Halime duduk di atas longgokan sampah sambil menulis buku notanya, manakala gambar kanan, Halime ketika di sekolah. - Agensi
GAMBAR kiri, Halime duduk di atas longgokan sampah sambil menulis buku notanya, manakala gambar kanan, Halime ketika di sekolah. - Agensi
Agensi

ISTANBUL: Demi pelajaran, seorang budak perempuan pelarian Syria berusia 11 tahun sanggup belajar di mana saja, termasuk di atas longgokan sampah ketika dia memungut barangan kitar semula bagi membantu keluarganya.

Kejadian Halime Cuma duduk di atas longgokan di sebelah tong sampah yang busuk di kawasan Arnavutkoy, Istanbul sebelah Eropah sambil menulis buku notanya dirakam orang ramai yang kemudian tular di media sosial sebelum mengundang kemarahan ramai.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, rakaman video itu membawa perubahan kepada kehidupan Halime apabila dia ditawarkan untuk belajar di sekolah kerajaan Turki.

Pihak berkuasa pendidikan Turki mencari kanak-kanak itu dan menempatkannya di sekolah.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Turki, Halime mencari barangan kitar semula, terutama kertas bagi membantu keluarganya.

Laporan media menyatakan, kanak-kanak itu memulakan pembelajaran di sekolah 26 September lalu yang kosnya ditanggung pihak berkuasa tempatan.

Dia yang tiba di di Turki bersama ibu, bapa dan lima adiknya, setahun lalu, tidak dapat memasuki sekolah kerana masalah dokumentasi.

Media Turki melaporkan, hanya adik bongsunya, Hamide, memasuki sekolah.

“Saya gembira. Kini saya boleh membaca banyak buku yang ada di sekolah,” katanya.

Bapanya, Abdulrezzak Cuma berkata, dia mahu semua anaknya bersekolah, namun banyak sekolah tidak dapat menerima mereka.

“Selepas Halime, saya harap anak saya yang lain juga akan dapat bersekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:30 AM