Fahmy Azril Rosli


BARISAN Nasional (BN) sebulat suara memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan tidak meletakkan calon.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti komponen itu juga tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli sebagai menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas.

Beliau menegaskan keputusan itu bukan bermaksud BN enggan meraikan proses demokrasi, tetapi cara pengosongan kerusi itu disifatkan tidak demokratik.

“Oleh yang demikian, atas prinsip yang dipegang oleh BN dan UMNO, kita memikirkan bahawa jika sesuatu pilihan raya diadakan untuk terjemah erti demokrasi sebenar selepas berlaku kematian (wakil rakyat) sudah tentu kita akan menyertai dalam proses demokrasi.

“Tetapi jika kekosongan bukan sebab kematian tetapi cuma mahu memenuhi cita-cita seseorang, maka satu pertimbangan perlu dilakukan.

“Menyedari hal itu, berdasarkan perbincangan dengan rakan komponen BN, maka kita ambil keputusan memboikot PRK Port Dickson atau maksudnya tidak letak calon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa.

Berita lanjut menyusul

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 5:46 PM
AHMAD Zahid (kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
AHMAD Zahid (kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad