KEADAAN rumah mangsa. FOTO Azhar Ramli.
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Azhar Ramli.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEBUAH keluarga di Kampung Wai, Kuala Perlis, di Kangar, berdepan detik cemas selepas ribut menerbangkan bumbung rumah mereka, malam semalam.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Ridzuan Om, 48, berkata, ini adalah kali pertama kejadian berkenaan menimpa keluarganya, walaupun kawasan kampungnya sering dilanda ribut.

“Ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, saya sedang berbual bersama rakan di beranda rumah, manakala isteri bersama anak memasak di dapur.

“Angin bertiup kencang dari kebiasaannya kerana rumah kami terlindung dari bukit dan saya sempat berkata kepada rakan bahawa tiupan angin malam semalam terasa semacam.

“Mula-mula, bumbung rumah bergegar dan tiba-tiba sahaja angin kencang bertukar ribut sehingga bumbung utama rumah tercabut," katanya ketika ditemui hari ini.

Ridzuan berkata, sejurus bumbung rumah tercabut, dia bergegas mendapatkan isteri dan anak di dapur.

“Mereka tergamam dan ketakutan di dapur, sekelip mata sahaja empat bilik dan ruang tamu rumah kami tidak berbumbung.

“Bagaimanapun, saya bersyukur keluarga kami selamat dan semalam kami lima beranak tidur di rumah abang yang berjiran dengan kami," katanya.

Katanya, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggungnya berjumlah hampir RM20,000 memandangkan perabot dan perkakas elektrik rumahnya habis rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 4:01 PM