Paya Linda Yahya


Kuala Krai: Suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila bumbung bahagian dapur rumah mereka di Kampung Ingin Maju, di sini, diterbangkan ribut ketika hujan lebat, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bumbung rumah bahagian dapur milik Hasmah Awg Kechik, 62, dan suami, Mohamad Asri Ibrahim, 63, musnah seratus peratus selepas diterbangkan ribut.

Menceritakan kembali detik cemas yang dilalui, Hasmah berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan mengejutkan mereka.

Katanya, sebuah bilik yang terletak di bahagian dapur turut rosak teruk apabila dihempap pokok bacang.

"Sebelum kejadian itu saya sedang membasuh pinggan dan bersiap untuk berbuka puasa, tiba-tiba angin kuat bersama hujan lebat.

"Dalam masa dua minit semua bumbung bahagian dapur diterbangkan angin dan kami suami isteri tergamam serta panik sebelum suami melaungkan azan.

"Hampir setengah jam kami berada di dalam hujan kerana tidak tahu hendak buat apa sebelum menghubungi anak lelaki yang tinggal berdekatan," katanya ketika ditemui di Kampung Ingin Maju, di sini, hari ini.

Hasmah berkata, rumah terbabit sudah didiami sejak 33 tahun lalu dan ini adalah kejadian kedua membabitkan angin dan ribut.

Hasmah bersama Mohd Farrez  melihat keadaan dapur rumah mereka di Kampung Ingin Maju, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Hasmah bersama Mohd Farrez melihat keadaan dapur rumah mereka di Kampung Ingin Maju, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya

Menurutnya, kejadian pertama berlaku dua tahun lalu dan hanya membabitkan atap bahagian dapur.

"Dianggarkan kerugian yang terpaksa kami tanggung hampir RM50,000 dan kini kami menumpang di rumah anak kelima, Mohd Farrez Haqimee Mohamad Asri, 29, yang tinggal berdekatan.

"Perasaan kami kini bercampur baur, sedih, sayu dan hiba tambahan mengenangkan tidak lama lagi akan menyambut Aidilfitri.

"Namun, saya reda dan menganggap ini adalah ujian buat kami sekeluarga pada bulan Ramadan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:42 PM