GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
Agensi

Stockholm: Sebuah syarikat penerbangan diarah membayar pampasan 150,000 Swedish Krona (RM65,729) kepada pekerja wanita Muslim di Sweden yang dipecat kerana memakai tudung.

Keputusan dibuat Badan Kesaksamaan Sweden pada Khamis selepas menerima aduan wanita yang berdepan diskriminasi, tahun lalu.

"Syarikat penerbangan yang tidak membenarkan simbol agama dan melaksana dasar kod pakaian seragam, memecat wanita tanpa menggajinya kerana bertudung walaupun permohonan kerja wanita itu sudah diterima.

"Ini adalah satu bentuk diskriminasi," kata ketua pengarah badan itu, Lars Arrhenius yang dilapor Anadolu.

Menurutnya, hak kesaksamaan dalam pasaran buruh dan kebebasan beragama tidak seharusnya bercanggah dengan kepentingan majikan.

"Bagaimanapun dalam mencapai keseimbangan, kebebasan dalam beragama haruslah diutamakan," katanya.

Susulan itu badan berkenaan mengarahkan syarikat membayar wanita terbabit sebagai ganti rugi.

Wanita itu memfailkan aduan tahun lalu atas dakwaan berdepan diskriminasi dalam pasaran kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 12:12 PM