AYDA Jebat. FOTO Blackpepperproduction
AYDA Jebat. FOTO Blackpepperproduction
Najiy Jefri

Jika mengimbau kembali kenangan tujuh tahun lalu, tiada apa yang istimewanya wanita bernama Ayda Jebat.

Ketika itu, perjalanan seni pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat itu hampir terhenti apabila dia tersingkir daripada program realiti Akademi Fantasia 9 dan digantikan adiknya, Fina.

Lebih menyedihkan, Ayda turut diberhentikan daripada sebuah universiti awam selepas membuat keputusan untuk menceburi bidang seni suara.

Namun, hidup anak kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu berubah sekelip mata selepas drama rantaian Rindu Awak 200% pada 2014 mencetuskan fenomena luar biasa.

Kini, dia dikenali sebagai figura yang sentiasa berjuang demi mengejar impian yang diidamkan selama ini. Buktinya, wanita berusia 26 tahun ini melakar banyak kejayaan manis yang membanggakan peminatnya. Tidak cukup dengan itu, dia juga mempunyai aura yang mampu membuatkan orang sekeliling menyayanginya.

“Bukan mudah sebenarnya untuk saya berada di tempat dan kedudukan sekarang. Tetapi, saya sering ingatkan diri apa yang dimiliki ini bukan satu tiket untuk saya duduk dan goyang kaki.

“Saya tidak pernah menyangka dapat menikmati kehidupan luar biasa dalam sekelip mata sebaik saja membuat kemunculan tujuh tahun lalu.

“Tiada apa yang mampu saya katakan selain bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan tidak bertepi peminat selama ini,” katanya.

Biarpun menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara, Ayda tidak pernah meletakkan dirinya sebagai jaguh di pentas seni sebaliknya bersyukur dengan rezeki kurniaan Ilahi.

Kata Ayda, bukan trofi yang menjadi dambaan hati selama ini sebaliknya kejayaan sebenar adalah melihat peminat bertepuk tangan dan berkongsi cerita baik mengenai setiap produk yang dijayakannya.

“Bagi saya wajah-wajah menonton lakonan dan mendengar saya menyanyi sepanjang tujuh tahun dalam industri seni itulah hadiah paling bernilai dan harganya sama dengan sebuah piala.

“Saya tidak pernah mengira berapa banyak trofi dimenangi tetapi saya sentiasa berfikir cara terbaik untuk memikat hati rakyat Malaysia untuk terus setia bersama saya,” katanya.

Bagi penyanyi lagu Pencuri Hati ini, dia enggan alpa dalam arus populariti atau terbuai dengan pujian.

Kata Ayda, setiap pujian diambil sebagai proses untuk mencabar diri menjadi lebih baik manakala jika ada kritikan dia sentiasa terbuka untuk menerimanya.

“Sama ada pujian atau kritikan, saya akan lihat dari sudut positif. Bagi saya, kedua-duanya membantu anak seni untuk lebih mengenal diri seterusnya memperbaiki kelemahan yang ada.

“Diakui dengan lambakan wajah baharu dalam industri, saya perlu bekerja lebih keras untuk terus bertahan. Jadi, saya perlu memperbaiki diri dalam segala aspek agar semua berpuas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

Menurut Ayda, setiap apa yang diperkatakan mengenai kembara seninya adalah bukti kehadirannya mendapat perhatian masyarakat.

“Apabila orang memperkatakannya, itu bererti mereka sedar kehadiran saya. Ia sesuatu yang bagus.

“Sebagai manusia, kita perlu selalu menerima apa saja asalkan tidak melanggar batasan,” katanya.

Orang ketiga

Menjiwai karakter Aryana dalam drama Bukan Cinta Kristal yang kini hangat ditayangkan di TV3, Ayda kini digelar wanita paling ‘kejam’ apabila ramai ‘membencinya’.

Meskipun dikecam dan diugut, Ayda tenang berdepan situasi itu.

“Ketika membaca skrip saya sudah boleh menjangka penonton akan benci saya. Apapun ia sekadar lakonan.

“Saya berterima kasih atas maklum balas positif penonton di Twitter yang membenci Aryana. Apabila mereka tidak suka dengan Aryana bermakna lakonan saya menjadi. Insya-Allah ia akan jadi pembakar semangat saya untuk buat lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Drama rantaian berkenaan mengisahkan Aryana sanggup melakukan apa saja demi memastikan impiannya tercapai termasuk menjadi orang ketiga dalam hubungan Adrian dan Sofea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 5:35 AM