NORLINAH menjual telur itik masin serta buah Bambangan di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
NORLINAH menjual telur itik masin serta buah Bambangan di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Mohd Izham Unnip Abdullah

Kota Kinabalu: Hanya ada di Sabah, itulah keunikan Tamu yang menjadi tempat masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah bertemu.

Selain menjadi tempat berniaga dan membeli barangan keperluan, Tamu itu juga lazimnya menjual pelbagai produk tempatan yang hanya ditemui di negeri ini.

Bagi penduduk di ibu negeri ini, sudah tentu Tamu Jalan Gaya di sini menjadi tumpuan setiap Ahad, malah turut menarik pelancongan dari Semenanjung dan negara asing.

Tamu atau di tempat lain dipanggil pasar minggu memiliki keunikan tersendiri kerana pelbagai produk tempatan masyarakat majmuk di Sabah mudah didapati di situ, seperti sayuran kampung, buah eksotik, kraftangan dan makanan tradisi.

Berbeza dengan Tamu lain di Sabah yang hanya membabitkan masyarakat setempat di sesuatu daerah, Tamu Jalan Gaya yang dibuka sejak zaman British hampir seabad lalu, menghimpun peniaga dari luar daerah, dengan ada di antaranya dari destinasi sejauh Kudat dan pantai timur.

SOHINAH Samadin, 52,   menunjukkan sayur kodop siap dibungkus.
SOHINAH Samadin, 52, menunjukkan sayur kodop siap dibungkus.

Lebih unik, sebutlah apa saja yang dicari sama ada produk makanan, buah-buahan, kraftangan, pakaian, bibit atau baka tumbuhan termasuk pokok eksotik, malah orkid liar dari hutan terpencil di negeri ini boleh ditemui di situ.

Bukan setakat produknya, malah kepelbagaian kaum, seperti suku Dusun, Bajau, Rungus, Brunei, Suluk, Cina dan banyak lagi etnik lain, masing-masing dengan produk tradisinya yang berniaga di situ menambahkan lagi keunikan tamu itu.

Peniaga tinggaton (sirih, pinang, tembakau), Obihian Magawai, 58, yang datang dari Matunggong, Kudat, 150 kilometer dari sini, menjadikan Tamu Jalan Gaya sebagai lokasi berniaga produk unik itu sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya datang seminggu sekali ke sini. Kira-kira 20 tahun lalu kami datang sini berniaga tanpa permit, tetapi sekarang diberi kebenaran oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjual sigup (tembakau), kirai (rokok nipah) dan lugus (pinang muda).

“Bukan saja orang tempatan, orang luar juga ramai yang tertarik dengan barangan saya,” katanya.

AMIT  Juali, 70, menjual pelbagai kuih kering yang enak.
AMIT Juali, 70, menjual pelbagai kuih kering yang enak.

Burhan Lasimin, 30, dari Pekan Nabalu, Kota Belud antara sejumlah kecil peniaga memiliki permit khas menjual orkid liar di Tamu Jalan Gaya, yang menjadi satu lagi keunikan tamu berkenaan berbanding tamu lain di negeri ini.

“Pelanggan kami kebanyakannya peminat bunga, khususnya orkid liar termasuk dari Semenanjung.

“Kami mendapat permit dari Jabatan Hidupan Liar untuk menjual orkid ini dan ia kebanyakan ia diperoleh dari hutan berbukit di Ranau, Lahad Datu dan daerah lain,” katanya.

BURHAN bersama pokok orkid yang dijualnya.
BURHAN bersama pokok orkid yang dijualnya.

Jika mencari buah eksotik, bermula bulan ini hingga Disember depan, Tamu Jalan Gaya lokasi sesuai mencari buah seperti bambangan, tarap dan durian isi merah.

Peniaga dari Kampung Topokon, Tuaran, Norlinah Nurahid, 37, yang baru berniaga sejak awal tahun ini memilih Tamu Jalan Gaya untuk memasarkan buah bambangan dari kebunnya, selain telur masin hasil ternakan itik yang diusahakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:24 PM