STEROID mempercepat pertumbuhan tubuh untuk lembu yang diberi kepada pelacur bawah umur. FOTO Reuters
STEROID mempercepat pertumbuhan tubuh untuk lembu yang diberi kepada pelacur bawah umur. FOTO Reuters
Agensi

Dhaka: Remaja bawah umur semuda 13 tahun yang dijual kepada pusat pelacuran di Bangladesh, dipaksa mengambil steroid untuk lembu bagi mempercepatkan pertumbuhan tubuh mereka.

Seorang daripada mereka dikenali sebagai Rupa (bukan nama sebenar), kini berusia 19 tahun, sudah lima tahun bekerja dengan pusat pelacuran di Dhaka menceritakan kisahnya.

Menurut laporan Daily Mail, Bangladesh membenarkan pelacuran, namun melarang wanita berusia bawah 18 tahun menjadi pelacur dan memerlukan lesen menunjukkan kerelaan untuk bekerja.

Namun, dianggarkan hampir 50 peratus pekerja seks ialah remaja perempuan bawah umur, kebanyakannya pengantin kanak-kanak yang kemudian dipaksa melacur.

Rupa bekerja di Kandipara yang dianggap ‘perkampungan pelacur’, tinggal dalam rumah bersama kira-kira 400 pelacur lain.

Rupa berkahwin ketika berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 30-an, namun selepas mendapat seorang anak, suaminya terbunuh dalam kemalangan.

Keluarganya enggan menerimanya kembali dengan alasan tidak mampu menyara remaja itu dan anaknya.

“Saya bukan lagi anak dara menyebabkan tiada siapa mahu mengahwini saya,” katanya kepada Telegraph.

Rupa berhijrah ke Dhaka mencari kerja, namun diperdaya dan dijual kepada rumah pelacuran di daerah Kandipara.

Selama tiga hari dia dikurung dan dipukul kerana cuba melarikan diri.

Bersama makanan, dia diberi Oradexon iaitu steroid lembu agar tubuhnya cepat membesar dan kelihatan lebihberusia.

“Ketika dibawa ke balai polis untuk mendapatkan lesen, bimbang dipukul lagi, saya hanya mengulang apa yang dipesan ibu ayam iaitu saya berusia 18 tahun dan mahu menjadi pelacur dengan rela kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Rupa perlu melayan sehingga 12 pelanggan sehari yang setiap seorang membayar 200 taka (kira-kira RM9.60).

Selain tidak menjalani pemeriksaan perubatan bagi mengelak penyakit kelamin, dia juga sering dipukul pelanggan.

Pelacur di Bangladesh biasanya bekerja sehingga mereka mampu membeli kebebasan mereka, namun bagi Rupa: “Saya sering impikan masa depan yang lebih baik, namun sedar saya tidak mungkin mendapatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 9:18 AM