D J Dolasoh


SEBUAH rumah tradisional Melayu Perak berjaya diusung sejauh lebih 150 meter dalam tempoh empat jam oleh kira-kira 150 orang di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, hari ini.

Rumah pusaka diperbuat daripada kayu cengal dan merbau berusia 80 tahun peninggalan seorang penduduk tempatan dan berukuran 8 X 6.7 meter dengan seberat enam tan metrik, pada mulanya sukar diangkat walaupun menggunakan kudrat seramai 110 orang.

Selama kira-kira sejam bermula jam 9.30 pagi, rumah itu hanya boleh diangkat tetapi tidak dapat diusung oleh penduduk kampung, pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menyertai usaha secara gotong-royong itu.

Namun, selepas laungan azan dilakukan seorang penduduk kampung dan pihak penyelaras kemudian meminta tambahan 40 pelajar Madrasah Islahiah Saiburi, Pattani, Thailand, yang kebetulan berada di kawasan itu, membolehkan rumah berkenaan diusung.

Penyelaras Program Mengusung Rumah Lama, Meor Samsudin Abu Hassan, 60, berkata pihaknya meminta izin daripada waris pemilik rumah satu bilik itu untuk dijadikan Galeri Budaya di Dataran Badang di kampung berkenaan sebagai tarikan pelancong.

“Meskipun, pada mulanya kami merasakan agak mustahil rumah itu boleh diusung kerana terpaksa melalui sawah padi dan halangan parit, namun kesepakatan peserta dan penduduk akhirnya ia berjaya dilakukan.

“Kami akan menghias dan meletakkan pelbagai peralatan termasuk mempamerkan pakaian tradisional daerah ini dalam rumah itu untuk tarikan pelancongan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz dan Pegawai Tourism Perak Noor Azira Mohd Rais.

PESERTA bergambar selepas selesai mengusung rumah dari tapak asal sejauh 150 meter. FOTO DJ Dolasoh
PESERTA bergambar selepas selesai mengusung rumah dari tapak asal sejauh 150 meter. FOTO DJ Dolasoh

Katanya, rumah berkenaan sesuai dijadikan rumah contoh tradisional Perak yang unik kerana tidak menggunakan sebarang paku pada pembinaannya.

Sementara itu, cucu pemilik rumah berkenaan, Ruzimah Abdul Rahman, 45, berkata dia mempunyai banyak kenangan di rumah pusaka berkenaan kerana bukan saja dilahirkan di situ, malah menjalani kehidupan harian bersama ibu dan neneknya.

“Rasa sayu dan terharu kerana ia dipindahkan untuk dijadikan Galeri Budaya. Saya harap, rumah ini akan dipulihara dengan sempurna kerana boleh saya dan anak cucu terus melihatnya nanti,” katanya yang sudah mendiami rumah sendiri di Karai, Kuala Kangsar, sejak 2005 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 7:14 PM
PESERTA bergotong-royong mengusung rumah pusaka sejauh 150 meter di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Effendy Rashid
PESERTA bergotong-royong mengusung rumah pusaka sejauh 150 meter di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Effendy Rashid