TEKONG berperanan penting bagi memastikan rumah diusung tidak melanggar pokok.
TEKONG berperanan penting bagi memastikan rumah diusung tidak melanggar pokok.
PENDUDUK Kampung Katong, Pauh, Perlis bergotong-royong mengusung sebuah rumah kayu.
PENDUDUK Kampung Katong, Pauh, Perlis bergotong-royong mengusung sebuah rumah kayu.
Oleh Adnan Jahaya

Amalan memindahkan rumah menggunakan kudrat manusia atau ‘usung rumah’ pernah mewarnai budaya masyarakat Melayu negara ini terutama di kawasan kampung.

Sejak zaman penjajah, hampir saban minggu kegiatan yang memperlihatkan semangat bergotong-royong masyarakat itu berlangsung, namun tradisi itu semakin lenyap hasil tempias kemodenan.

Kewujudan perumahan moden dan pembinaan rumah konkrit di kawasan kampung menjadi faktor kegiatan usung rumah semakin lenyap meskipun semangat bergotong-royong masih segar.

Lagipun kegiatan usung rumah hanya membabitkan rumah papan yang bertiang dan tidak boleh dilakukan bagi rumah batu atau konkrit.

Seorang budayawan, Mokhtar Abdul Karim berkata, kegiatan usung rumah lazimnya membabitkan perpindahan penduduk dalam jarak dekat.

Beliau berkata, penduduk memindahkan rumah kerana pelbagai alasan.

“Ada penduduk amat sayang rumahnya. Bila pindah, dia mahu bawa rumah sekali,” katanya.

Mokhtar, seorang novelis veteran yang mengguna nama pena Mokhtar AK berkata, faktor lain ialah struktur rumah itu dibeli pihak lain menyebabkan ia diusung keluar ke lokasi baru yang ditetapkan pembeli.

Sebahagian besar generasi muda bukan saja tidak pernah mendengar perkataan usung rumah, apatah lagi menyaksikan kegiatan itu.

Bagi warga emas, Sum Sanapi, 81, rumahnya pernah diusung sejauh lebih 500 meter dari tapak asalnya di Kampung Belanga Pudak, Perlis lebih 40 tahun lepas.

Rumahnya yang tersorok di pinggir hutan buluh dan tanah perkuburan dipindahkan ke tapak baru lebih strategik.

“Rumah diusung menyeberangi tali air ke tapak baru dan selepas itu diusung pula jelapang padi (tempat menyimpan padi) ke tempat sama,” kata wanita yang kini menetap di Telok Kachang.

Bina jambatan batang kelapa

Baginya tapak baru lebih strategik kerana berhampiran tali air yang mempunyai banyak ikan selain terdapat hutan nipah yang memberi sumber rezeki.

Persiapan bermula dengan bergotong-royong membina jambatan menggunakan batang kelapa bagi membolehkan rumah itu diusung menyeberangi tali air.

“Masa itu tak ada jentera moden dan semua dilakukan dengan kudrat gotong-royong termasuk menebang dan mengusung batang nyoq (kelapa),” katanya.

Berdasarkan penelitian penulis, jarak usungan rumah tidak melebihi dua kilometer kerana untuk jarak lebih jauh, rumah itu perlu diceraikan bahagian-bahagiannya dan dipindahkan dengan lori dan dipasang semula di tapak baru.

Proses usung rumah bermula dengan hebahan kepada masyarakat termasuk melalui imam masjid selepas solat Jumaat.

Penganjur kegiatan usung rumah akan berdiri di sisi imam ketika pengumuman itu dibuat bagi membolehkan jemaah masjid mengenalinya.

Lazimnya kegiatan usung rumah dilakukan kira-kira seminggu selepas pengumuman dibuat dan ada yang dilangsungkan lebih awal.

Selain pengumuman di masjid, penganjur juga mendapatkan kerjasama ketua kampung, pemimpin komuniti serta jiran-jiran.

Buluh usungan

Persiapan penting sebelum rumah diusung ialah penyediaan pengalas usungan daripada buluh bagi memudahkan kerja mengusung rumah.

Buluh-buluh yang ditebang secara bergotong-royong itu diikat ke rasuk rumah dan jumlah buluh yang digunakan bergantung kepada saiz rumah.

Rumah yang bakal diusung perlu dikosongkan daripada segala perabot dan barangan bagi mengurangkan berat.

Penulis pernah melihat dan menyertai kegiatan usung rumah dan mendapati rumah perlu diusung berhati-hati kerana jika pengusung terjatuh semasa bergerak, dia mungkin dipijak pengusung lain memandangkan pergerakan rumah tidak boleh dihentikan secara mengejut.

Jika kegiatan itu dilihat dari lokasi tinggi, ia persis sekumpulan semut yang mengusung cebisan makanan dan pergerakannya perlahan serta berhati-hati.

Biasanya 50 orang diperlukan bagi mengusung rumah bersaiz kecil dan angka itu lebih tinggi bagi rumah bersaiz besar.

Peranan tekong

Selain pengusung rumah, tekong atau penunjuk arah berperanan penting bagi memastikan rumah yang diusung tidak melanggar pokok atau halangan lain.

Dia akan memaklumkan jika terdapat halangan di hadapan termasuk bonggol, tunggul pokok atau kubang dan parit supaya para pengusung lebih berhati-hati.

Tempik sorak pengusung adalah perkara biasa semasa kerja mengusung rumah, namun suara tekong biasanya lebih lantang supaya boleh didengari mereka yang menyertai gotong-royong itu.

Tekong juga akan memaklumkan apabila rumah yang diusung tiba di tapak baru bagi memudahkan orang menyelaras pelapik tiang sebelum rumah diletakkan secara tepat di lokasi.

Menikmati jamuan santai

Selepas berakhir kegiatan usung rumah, peserta gotong-royong dijamu bubur kacang atau bihun goreng bersama kopi.

Kepuasan dapat dirasakan pengusung dan pemilik selepas melihat rumah yang diusung dengan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi itu tiba di tapak baru dengan sempurna.

Sementara itu, beberapa kegiatan usung rumah dikesan di Perlis sejak 2010 termasuk di kampung Wang Belimbing, Kampung Sena, Kampung Jarak dan Kampung Katong.

Selain kegiatan usung rumah, penduduk pernah bergotong-royong mengusung ‘jelapang padi’ dan terbaru berlangsung di Gial, Perlis pada awal bulan lalu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 1:02 PM