WANNA One terus jadi fenomena.
WANNA One terus jadi fenomena.
Georgie Joseph

Menjadi kumpulan Korea Selatan paling popular ketika ini, Wanna One terus melakar sejarah tersendiri.

Dianggotai Kang Daniel, Park Ji-hoon, Lee Dae-hwi, Kim Jae-hwan, Ong Seong-wu, Park Woo-jin, Lai Kuan-lin, Yoon Ji-sung, Hwang Minhyun, Bae Jin-young dan Ha Sungwoon, aura sebagai selebriti terkenal sukar disangkal.

Walaupun meniti perjalanan hidup yang indah ketika ini, hakikatnya mereka juga tidak terlepas berdepan pelbagai dugaan. Maklum saja, bukan semua orang gembira dengan kejayaan yang dikecapi kumpulan itu.

Dugaan yang melanda Wanna One datang dari pelbagai sudut. Untungnya, pihak yang menyokong kembara seni mereka jauh lebih kuat berbanding dalang yang cuba menjatuhkan mereka.

Pada Mac lalu, dua anggotanya, Dae-hwi dan Woo-jin menjadi mangsa serangan fitnah di media sosial. Komen yang ditujukan kepada mereka jelas mahu menjatuhkan Wanna One.

Pihak pengurusan mereka memandang serius isu itu dan bangkit memfailkan saman terhadap pelakunya.

Terbaru, Brand New Music mengumumkan individu terbabit sudahpun dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Suspek terbabit akan menerima hukuman atas jenayah yang dilakukan. Sebagai agensi yang bertanggungjawab menguruskan kerjaya Wanna One, kami tidak akan berdiam diri.

“Kami akan terus memantau komen atau kenyataan yang tidak sepatutnya. Kami sentiasa melindungi artis yang bernaung di bawah syarikat kami,” kata wakil agensi Wanna One.

Dalam pada mengecapi kejayaan, kumpulan itu tidak lupa berbakti dengan orang tersayang dan berkongsi perkara itu dengan orang sekeliling terutama penyokong tegar yang menjadi tulang belakang kejayan mereka selama ini.

Hal itu dibuktikan anggotnya, Kang Daniel yang berjaya menyentuh hati ramai dengan kisahnya, baru-baru ini. Dia menghadiahkan rumah buat ibu tercinta sebagai tanda kasih tidak berbelah bahagi.

“Ini adalah hadiah terbesar saya buat ibu. Sewaktu di sekolah rendah dulu, saya lebih suka habiskan masa di bilik komputer berbanding menghadiri kelas tuisyen selepas habis waktu persekolahan.

“Ibu marah apabila tahu saya ponteng kelas. Itu kisah ketika remaja. Sekarang saya mahu jadi anak yang bertanggungjawab dan mahu lihat keluarga hidup senang.

“Saya belikan rumah baru untuk ibu dan banyak berbelanja untuk gembirakan hatinya kebelakangan ini,” katanya.

WANNA One tabah hadapi dugaan sebagai anak seni.
WANNA One tabah hadapi dugaan sebagai anak seni.

Perkembangan terkini, buat kali kedua kumpulan itu akan menjayakan konsert yang diberi nama Wanna One ONE: WORLD TOUR di Kuala Lumpur yang berlangsung pada 21 Julai nanti, jam 8 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada Januari lalu, Buat julung kalinya, WANNA ONE menjejakkan kaki di Malaysia bagi menjayakan 1st Fan Meeting ‘WANNABE LOVED’ in Kuala Lumpur. Lebih istimewa, mereka hadir empat hari lebih awal dari tarikh acara.

Sebaik tiba di sini, media sosial dibanjiri berita mengenai kumpulan ini, apatah lagi foto mereka bersiar-siar di ibu kota menjadi tular.

Ada juga spekulasi mengatakan sebab utama mereka tiba awal adalah untuk menjayakan rakaman program TV yang disiarkan di Korea. Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai dakwaan itu.

Sebaliknya, pada sesi sidang media yang berlangsung sebelum acara bertemu peminat, WANNA ONE memaklumkan mereka datang lebih awal untuk bercuti. Meskipun sibuk, mereka mahu merehatkan minda.

“Kami sempat bersiar-siar di beberapa lokasi menarik. Kami dapat menikmati pelbagai juadah enak termasuk mi goreng, aiskrim kelapa dan beberapa hidangan unik lain.

“Ada juga antara kami mengambil peluang berehat sepenuhnya seperti Kang Daniel. Dia langsung tidak keluar dari biliknya dan tidak melakukan apa-apa,” kata Seung-wu.

Sementara itu, CJ WOW SHOP menawarkan tiket konsert percuma kepada peminat Wanna One.

Bermula 9 hingga 19 Julai 2018, anda berpeluang memenangi tiket konsert Wanna One serta barangan ‘Ce& WannaOne’ melalui beberapa langkah.

Peminat hanya perlu ikuti Instagram @cjwowshop dan kongsikan semula poster Peraduan Wanna One CJ Wow Shop Rasmi dari laman instagram itu.

Tag rakan yang ingin dibawa bersama ke konsert berkenaan dengan kapsyen “I wanna go to Wanna One concert with ______” dan sertakan dengan hashtag #WannaOneWOW. Pemenang akan diumumkan pada 20 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 8:16 AM