KUMPULAN ini ternyata sangat bagus di pentas.
KUMPULAN ini ternyata sangat bagus di pentas.
KOREOGRAFI tarian mereka sangat memukau dan berbeza.
KOREOGRAFI tarian mereka sangat memukau dan berbeza.
Georgie Joseph


Menggabungkan bakat hebat dalam satu kumpulan sememangnya percaturan tepat buat WANNA ONE.

Kumpulan idola paling popular di Korea Selatan itu bukan lagi eksperimen tetapi menjadi aset seni yang sangat berharga. Meskipun ‘hijau’, mereka berjaya menakluk hati peminat seluruh dunia dalam tempoh yang singkat.

Dianggotai Kang Daniel, Park Ji-hoon, Lee Dae-hwi, Kim Jae-hwan, Ong Seong-wu, Park Woo-jin, Lai Kuan-lin, Yoon Ji-sung, Hwang Min-hyun, Bae Jin-young dan Ha Sung-woon, kumpulan itu terus menjadi buruan pelbagai pihak.

Buat julung kalinya, WANNA ONE menjejakkan kaki di negara ini minggu lalu bagi menjayakan 1st Fan Meeting “WANNABE LOVED” in KualaLumpur. Lebih istimewa, mereka hadir empat hari lebih awal dari tarikh acara.

Sebaik tiba di sini, media sosial dibanjiri berita mengenai kumpulan ini apatah lagi foto mereka bersiar-siar di ibu kota menjadi tular.

Ada juga spekulasi mengatakan sebab utama mereka tiba awal adalah untuk menjayakan rakaman program TV yang disiarkan di Korea. Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai dakwaan itu.

Sebaliknya, pada sesi sidang media yang berlangsung sebelum acara bertemu peminat, WANNA ONE memaklumkan mereka datang lebih awal untuk bercuti. Meskipun sibuk, mereka mahu merehatkan minda.

“Kami sempat bersiar-siar di beberapa lokasi menarik. Kami dapat menikmati pelbagai juadah enak termasuk mi goreng, aiskrim kelapa dan beberapa hidangan unik lain.

“Ada juga di antara kami mengambil peluang berehat sepenuhnya seperti Kang Daniel. Dia langsung tidak keluar dari biliknya dan tak melakukan apa-apa,” kata Seung-wu.

Kemunculan mereka di Stadium Negara dinantikan puluhan ribu peminat. Ia sekali gus membuktikan kumpulan itu sangat popular buat masa ini dan digilai ramai.

Bukan saja peminat tempatan, ada juga dari Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Thailand dan beberapa negara lain. Maklum saja, ia penampilan pertama WANNA ONE di Asia Tenggara.

Apa yang pasti, malam itu sangat luar biasa apabila jeritan bergema satu stadium. Belum pun acara bermula, premis itu meriah dengan laungan nama anggota kumpulan berkenaan.

Sebaik muncul di atas pentas, WANNA ONE membuka tirai persembahan dengan tarian yang cukup memukau. Biarpun ada 11 anggota, gerak tari mereka sangat teratur.

Mereka turut menghiburkan penonton dengan permainan ringkas dan keletah masing-masing. Setiap anggota sangat komited dan memberikan sepenuh hati apabila melakukan tugasan yang diberikan.

Mereka tahu penonton pasti tidak puas sekiranya hanya mengalunkan enam lagu dan berjanji datang lagi ke negara ini bagi menjayakan konsert lebih besar.

“Kami mendapat layanan yang sangat baik daripada semua orang. Semestinya kami akan kembali lagi ke sini dan tidak sabar menunggu saat itu,” kata mereka.

Konsert hampir batal

Agak mengejutkan, sesi bertemu peminat bagaimanapun hampir dibatalkan apabila peminat di depan pentas tiba-tiba bersikap agresif.

Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di lokasi membuat pengumuman itu selepas keadaan sukar dikawal selama hampir satu jam.

Aksi tolak-menolak berlaku sehingga pengawal keselamatan tidak dapat meredakan keadaan malah ada beberapa penonton jatuh dan pengsan.

Ia terpaksa dihentikan separuh jalan sewaktu sesi pengenalan 11 anggotanya selepas situasi bertukar kecoh sebelum mereka diminta kembali ke belakang pentas untuk meredakan situasi tegang itu.

Ketika insiden berlaku, kumpulan itu baru saja menyampaikan dua lagu iaitu Energetic dan Beautiful sebaik persembahan dimulakan tepat jam 8 malam. Ia sepatutnya diikuti sesi pengenalan diri dan soal jawab.

Bagaimanapun, WANNA ONE risau apabila penonton di depan pentas mula tolak-menolak.

Pada sesi bertemu peminat yang dihadiri lebih 5,000 penonton itu, pasukan paramedik dan pengawal keselamatan berusaha membantu penonton yang memerlukan rawatan serta pertolongan.

Pengacara juga berusaha menenangkan penonton dengan meminta mereka menjaga kelakuan seandainya mahu konsert diteruskan.

Bagaimanapun, selepas keadaan reda WANNA ONE kembali ke atas pentas pada jam 9.45 malam.

Turut dipersembahkan pada malam itu adalah lagu Burn It Up, Never, Beautiful dan Wanna Be.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 10:38 AM