AHMAD Zahid (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) ketika sidang media. FOTO Syarafiq Abd Samad
AHMAD Zahid (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) ketika sidang media. FOTO Syarafiq Abd Samad
BERNAMA

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan akan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok untuk memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang yayasan.

“Saya akan perjelaskan (situasi sebenar) selepas memberi keterangan di SPRM esok,” kata Anggota Parlimen Bagan Datuk itu dalam sidang media pertamanya sebagai presiden baharu UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa yayasan berkenaan dimiliki keluarganya dan beroperasi untuk menjalankan aktiviti kebajikan.

“Keterangan yang saya akan beri (ialah) mengenai sebuah yayasan yang dipunyai oleh keluarga saya sendiri," katanya.

“Tujuannya (yayasan) itu ialah melakukan amal jariah pembinaan masjid, maahad tahfiz dan beberapa aktiviti kebajikan lain bagi mengikut hukum syariah seperti sedekah infak dan lain-lain.

"Wang yang terdapat dalam yayasan itu datang daripada sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang mahu melakukan amal jariah,” jelas beliau.

Beberapa portal melaporkan bahawa Ahmad Zahid, yang merupakan pengerusi yayasan tersebut, disyaki menggunakan RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

Mengenai pembekuan akaun UMNO, Ahmad Zahid berkata, parti itu telah menyerahkan surat kepada SPRM agar membuat kelonggaran dalam memberikan wang untuk kegunaan pembayaran gaji kakitangan dan sewaan.

“Kita minta kelonggaran agar pegawai dan kakitangan bergaji tidak dizalimi kerana mereka mempunyai keluarga dan tentunya pihak SPRM akan menggunakan kaedah-kaedah perundangan yang sedia ada untuk memberikan kelonggaran ini,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 6:01 PM