AHMAD Zahid beredar dari ibu pejabat SPRM Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat
AHMAD Zahid beredar dari ibu pejabat SPRM Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat
Mohd Husni Mohd Noor dan Suhaila Shahrul Annuar dan Teoh Pei Ying


PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada sebarang penyelewengan dana dikesan membabitkan Yayasan Akalbudi yang diterajuinya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah kesilapan dilakukan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit menggunakan dana yayasan itu.

Menurutnya, sepatutnya pembayaran kad kredit itu menggunakan cek daripada akaun peribadinya, bukan menggunakan duit yayasan itu.

“Saya sudah menjelaskan perkara itu kepada pasukan penyiasat SPRM hari ini, malah, saya sudah membayar balik sepenuhnya kepada akaun yayasan itu pada 2016.

“Saya juga sudah menyerahkan salinan cek bayaran balik ke akaun yayasan itu kepada SPRM sebagai bukti," katanya ketika ditemui media sejurus selesai memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu dana yayasan itu, di ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid meluangkan masa lebih tujuh jam memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu itu sejak 9.53 pagi tadi sebelum meninggalkan bangunan itu, jam 5.15 petang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikehendaki hadir oleh SPRM hari ini bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana yayasan lebih RM800,000 dipercayai bagi membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

Berita berkaitan

Ahmad Zahid hadir semula di SPRM... [METROTV]

Lapan jam beri keterangan [METROTV]

Belum selesai beri keterangan

Ahmad Zahid tiba di pejabat SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 7:13 PM