ANGGOTA keluarga mengiring nenek mangsa (tiga kiri).
ANGGOTA keluarga mengiring nenek mangsa (tiga kiri).
Kalbana Perimbanayagam dan Hasbi Sidek


“Saya sangat menyesal kerana meninggalkan cucu dan ibunya. Ini pertama kali saya meninggalkan dia (mangsa)," kata nenek kepada kanak-kanak perempuan yang maut ditikam bapa saudaranya di Jalan Kuang Gunung 4, Taman Kepong, malam tadi.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak pernah meninggalkan cucunya berusia tiga tahun itu kepada orang lain, namun hanya selepas pertama kali berbuat demikian, perkara buruk terjadi.

"Saya baru sahaja pulang ke rumah dan memanggilnya serta mencari cucu di sekitar rumah, namun akhirnya saya menemui tubuhnya ditutup dengan kain di dalam stor.

"Saya mula panik dan menjerit untuk mendapatkan bantuan," kata neneknya yang berusia 50 tahun, ketika ditemui di kediaman mereka, hari ini.

Ketika kejadian, ibu dan adik mangsa turut berada di rumah itu.

Nenek mangsa turut berkata, biasanya, dia tidak meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu.

"Saya tidak sekali-kali menjangkakan perkara ini akan berlaku," katanya sambil mengesat air mata sebelum dia dibawa dari pintu masuk ke rumah oleh beberapa lelaki.

Sementara itu, datuk kepada mangsa ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Dia berkata, pihak keluarga kini sedang menuntut mayat di HKL sebelum dibawa Jinjang Funeral Parlor, di Jalan Jambu Arang 2, Jinjang Selatan, untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Ahli keluarga kepada kanak-kanak itu juga dilihat gagal mengawal emosi.

Berita berkaitan:

Budak maut ditikam 30 kali

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 6:21 PM