ANNUR Sumayyah (tengah) bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Pembaca
ANNUR Sumayyah (tengah) bersama ibu bapanya. FOTO Ihsan Pembaca
Hadzlihady Hassan


“MAK (nenek) panggil... Sumayyah nak pergi,” itu antara kata-kata terakhir yang masih terngiang-ngiang di telinga Nur Daliia Yusoff, 28, ibu kepada Annur Sumayyah Syabandi, kanak-kanak berusia tiga tahun yang maut selepas dirempuh kereta mengundur di Rumah Transit Uda, Tanjong Tokong, di Georgetown, semalam.

Nur Daliia berkata, anak tunggalnya itu berkata demikian sehari sebelum kejadian dan dia menyangkakan Sumayyah yang memanggil neneknya dengan panggilan mak mungkin terlalu rindu dengan neneknya itu.

“Ibu saya meninggal dunia April tahun lalu kerana kanser usus dan sehari sebelum kemalangan tragis menimpa Sumayyah, dia ada memberitahu yang neneknya panggil dan dia mahu pergi.

“Saya ingat anak terlalu rindu dan mahu menziarahi kubur neneknya itu namun tidak sangka pula yang dia benar-benar pergi meninggalkan kami” katanya yang ditemui, hari ini.

Menurutnya, arwah anaknya itu juga dilihat agak berubah kerana dia terlalu manja dan kerap meminta supaya didukung sejak kebelakangan ini.

“Saya kini hamil tujuh bulan anak perempuan dan Sumayyah kerap mencium perut dan memeluk saya.

“Memang dia dilihat berkelakuan agak manja sedikit berbanding sebelum ini dan mungkin itu tanda yang dia mahu pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, dia sebelum ini tinggal di Kuching, Sarawak kerana mengikut suami yang bekerja sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pulang ke kampung halamannya sejak Januari lalu kerana mahu melahirkan anak kedua mereka.

“Ketika kejadian semalam saya berada di dapur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di luar dan terus bergegas keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Sebaik keluar, saya lihat anak sudah tercampak dalam keadaan berlumuran darah di tengah jalan dan saya terus memangkunya serta meminta jiran membawa kami ke hospital,” katanya.

Menurutnya, tidak sampai lima minit perjalanan ke hospital, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya dengan keadaan darah yang keluar melalui telinga.

“Saya hanya mampu reda dan berserah kepada tuhan kerana semua yang berlaku ini adalah ketentuan daripadanya,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, Annur Sumayyah meninggal dunia selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita yang juga rakan ibunya.

Difahamkan, wanita terbabit tertekan pedal minyak ketika mahu mengundurkan keretanya hingga membuatkan dia merempuh mangsa yang ketika itu berada di perkarangan luar rumah mereka.

Sementara itu, datuk mangsa Yusoff Chik, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah kerana menghisap rokok dan sempat berpesan kepada cucunya itu supaya tidak keluar rumah.

“Sebelum itu, cucu sempat suapkan saya kuih ketika berada dalam rumah dan dia juga dilihat terlalu gembira sambil bermain.

“Saya sendiri tidak perasan cucu keluar rumah ketika itu dan hanya terdengar rempuhan kuat kereta sebelum melihat cucu sudah terbaring di jalan,” katanya.

Jenazah Sumayyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Gajah, Tanjong Tokong jam 2 pagi, hari ini.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Saya sudah maafkan rakan''

'Budak mati terhimpit'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:49 PM