PERMAINAN video Fortnite yang sudah dimuat turun 40 juta kali sejak dilancarkan Julai tahun lalu. FOTO PR
PERMAINAN video Fortnite yang sudah dimuat turun 40 juta kali sejak dilancarkan Julai tahun lalu. FOTO PR
Agensi

London: Keluarga seorang budak perempuan sembilan tahun di London, terpaksa menghantarnya menjalani pemulihan ketagihan permainan video yang teruk sehingga enggan ke mana-mana malah sanggup membuang air kecil di depan televisyen.

Budak perempuan itu juga memberontak dan pernah memukul muka bapanya yang berusaha membuatnya berhenti bermain.

Permainan video Fortnite yang sudah dimuat turun 40 juta kali sejak dilancarkan Julai tahun lalu, menjadi kegilaan budak sekolah rendah itu.

Menurut keluarganya, budak berkenaan mencuri-curi bermain permainan video itu menggunakan konsul Xbox pada waktu malam sehingga 5 pagi dan tidak mahu ke tandas kerana tidak mahu meninggalkan permainan berkenaan.

Budak perempuan itu yang kini menjalani terapi intensif bagi menghilangkan ketagihannya itu, bermain sehingga 10 jam sehari, kebanyakannya sebelah malam menyebabkan dia sering tertidur di sekolah.

Dia memukul bapanya yang mahu mengambil konsul Xbox berkenaan untuk disimpan.

Ibu budak itu memberitahu The Mirror: “Suami saya mengesan perbuatannya mencuri-curi bermain pada waktu malam selepas ternampak cahaya dalam biliknya.

“Dia mendapati kusyen diduduki anak kami basah dengan air kencingnya.”

Menurutnya, masalah itu menjejaskan kehidupan anak mereka dan kanak-kanak lain serta mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

Mereka menghadiahkan Xbox kepada budak itu Januari lalu, dan dia kemudian memuat turun Fornite.

Dua bulan kemudian, sikap budak itu berubah menjadi membimbangkan dengan guru melaporkan dia sering tidur di sekolah dan prestasi pelajarannya merosot.

Budak yang aktif bersukan itu menjadi malas dan keletihan untuk gimnasium atau kelas balet.

Dia juga membeli keperluan tambahan bagi meningkatkan prestasi wataknya dalam permainan video itu dari Microsoft yang dimasukkan ke dalam akaun kad kredit ibu bapanya sebanyak lebih £50 sebulan.

Format paling popular Fortnite ialah Battle Royale yang disertai 100 pemain, berperang sehingga tinggal hanya seorang sebagai pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 9:13 AM