KEADAAN rumah dan kereta dibakar remaja 19 tahun. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN rumah dan kereta dibakar remaja 19 tahun. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


BERANG apabila kakaknya tidak mengendahkan permintaan memberi kunci kereta ayah mereka, seorang remaja lelaki bertindak luar batasan apabila membakar kereta dan rumah mereka di Kampung Stenggang, Bau, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam, remaja berusia 19 tahun bergaduh dengan kakaknya berusia 22 tahun dan mengugut mahu membakar serta mengebom kereta milik ayahnya.

Sumber berkata, suspek kemudiannya keluar rumah sebelum datang semula membawa botol berisi petrol.

“Suspek menyimbah petrol pada kereta Perodua Viva milik ayah mereka termasuk pagar dan dinding rumah sebelum membakarnya menggunakan pemetik api.

“Dua lelaki iaitu abang suspek dan adik ipar kakaknya yang cuba menghalang tindakan itu turut disimbah petrol. Akibatnya, kedua-duanya melecur disambar api yang sedang marak pada kereta,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah sumber, abang suspek berusia 26 tahun melecur di kepala, perut, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

“Adik ipar kakaknya melecur pada kaki kiri dan turut dihantar ke hospital sama.

“Kebakaran berlaku berjaya dipadamkan jiran menggunakan air paip sebelum kehadiran bomba.

“Suspek melarikan diri menggunakan motosikal selepas melihat ramai penduduk kampung membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 327/506 Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958.

"Pemeriksaan di lokasi turut menjumpai satu objek berbentuk silinder disyaki bom dan ia sudah diserahkan kepada Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 2:35 PM