POLIS cuba memisahkan pasangan itu. FOTO YouKu
POLIS cuba memisahkan pasangan itu. FOTO YouKu
Daily Mail

Beijing: Hasrat seorang pemuda memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya bertukar cemas apabila wanita itu menggigit lidahnya dan enggan melepaskannya hingga memaksanya mendapatkan bantuan polis.

Kejadian berlaku pada 20 Mei lalu di sebuah kaki lima di Qianshan, wilayah Anhui apabila pemuda berusia 23 tahun berkenaan ingin memberitahu keputusannya kepada teman wanitanya.

Wanita itu meminta satu ciuman untuk kali terakhir dan secara tiba-tiba bertindak liar sebelum polis menyemburkan penyembur lada ke arahnya.

Rakaman telefon bimbit yang tersebar menunjukkan pasangan itu berkucupan di luar pusat pencegahan dan kawalan penyakit di bandar berkenaan.

Suara lelaki itu kedengaran menjerit dan cuba melepaskan diri ketika digigit.

Polis berkata, lelaki dikenali dengan nama Li itu dibawa ke hospital sejurus kemudian dan tidak mengalami kecederaan teruk.

Manakala teman wanitanya dikenali sebagai Zhou dibawa ke rumah ibu bapanya.

Ibu bapa wanita itu menjelaskan kepada polis bahawa anak mereka mempunyai keadaan mental yang tidak stabil sejak kebelakangan ini selepas ditipu ketika membeli-belah secara atas talian.

Katanya, anak mereka dan pemuda itu menjalin hubungan sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap polis, Wu Changfeng memberitahu btime.com: “Apabila kami tiba di tempat kejadian, pasangan itu berbincang untuk memutuskan hubungan”.

“Kedua ibu bapanya memberitahu bahawa anak mereka mengalami masalah mental sebelum ini, namun menerima rawatan di Hefei selama lima tahun dan kini pulih sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:24 AM