AZILAH diiringi polis keluar dari Mahkamah Persekutuan pada 2015.  Gambar kecil, Musa Hassan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor & Abdullah Yusof.
AZILAH diiringi polis keluar dari Mahkamah Persekutuan pada 2015. Gambar kecil, Musa Hassan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor & Abdullah Yusof.
Arfa Yunus

Kuala Lumpur: Bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati mandatori selepas disabitkan kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu perlu membuat laporan polis jika mempunyai sebarang maklumat baru mengenai pembunuhan itu.

Bekas Ketua Polis Negara ketika pembunuhan itu dilakukan, Tan Sri Musa Hassan, berkata siasatan pembunuhan terbabit selesai dengan pesalahnya sudah dijatuhkan hukuman, justeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat baru perlulah tampil kepada polis.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu perlu membuat laporan ataupun berjumpa terus dengan pegawai polis untuk memberi keterangan supaya siasatan boleh dibuka semula. Namun maklumat itu mestilah baru, bukannya yang tidak berfaedah.

“Polis boleh menghantar pegawai penyiasat bertemu Sirul di Australia bagi mendapatkan keterangan sekiranya dia mempunyai maklumat baru seperti didakwa,” katanya yang tidak bersetuju dengan permintaan Sirul mendapatkan pengampunan penuh untuk berkongsi maklumat yang didakwa mengenai pembunuhan itu.

Baru-baru ini, Sirul dalam satu wawancara bersama portal Malaysiakini, mendakwa sanggup mendedahkan perkara yang berlaku sekiranya diberikan pengampunan penuh untuk kembali ke Malaysia.

Altantuya dikatakan terbabit skandal seks dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Keduanya-duanya yang juga anggota UTK, Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Bagaimanapun, Abdul Razak dibebaskan pada 2008 tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan bersubahat bersama Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Susulan kes pembunuhan itu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati pada 2009. Bagaimanapun, pada 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua mereka namun pada 23 Januari 2015 Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan pendakwaan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kedua-dua mereka. Kesempatan dibebaskan pada 2013, Sirul melarikan diri ke Australia, tetapi ditahan pihak imigresen negara itu dan kini ditempatkan di pusat tahanan di sana. Azilah kini masih dipenjara dan menunggu pendengaran rayuannya untuk mendapat pengampunan.

Musa menegaskan Sirul tidak berhak mendapat pengampunan penuh terhadap kesalahan terbabit kerana sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman.

“Ini tidak wajar kerana dia sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman. Sekiranya Sirul mahu pulang ke Malaysia, hukumannya boleh diringankan tetapi bukannya mendapat keampunan serta merta.

“Sekiranya dia mempunyai maklumat baru seperti didakwa, polis boleh menghantar pegawainya berjumpa Sirul di Australia bagi mendapatkan keterangannya,” katanya.

Musa berkata, siasatan polis berhubung kes terbabit sebelum ini tidak menemukan bukti yang boleh mengaitkan Najib atau isterinya, Datuk Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan dilakukan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 9:00 AM