PENUNGGANG dan pembonceng motosikal maut selepas motosikal dinaiki dipercayai bergesel dengan kenderaan tidak dikenal pasti. FOTO ihsan pembaca
PENUNGGANG dan pembonceng motosikal maut selepas motosikal dinaiki dipercayai bergesel dengan kenderaan tidak dikenal pasti. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENUNGGANG dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki dipercayai bergesel dengan kenderaan yang tidak dikenal pasti di Jalan Ipoh-Lumut di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, penunggang warga Indonesia dikenali sebagai Margono, 52, dan Syed Hazwan Hafiz Syed Mohd Nazari,31, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Lahat menghala ke Lumut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak dipastikan jenis serta nombor pendaftaran namun disyaki sebuah lori dari arah sama.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dibawa ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyatannya di Ipoh, hari ini.

Mohd Nordin berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal warga Indonesia itu mempunyai lesen memandu dan bekerja sebagai buruh.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:43 PM