BOMBA membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Rizal Abdullah

PERGELANGAN tangan kanan seorang lelaki hancur selepas tersepit pada mesin pengisar daging dalam kejadian di sebuah hotel di Jalan Pos, di Miri, malam tadi.

Mangsa berusia 29 tahun ketika itu sedang bekerja di bahagian dapur hotel sebelum tangannya tiba-tiba termasuk ke dalam mesin itu pada jam 9.50 malam

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam.

Menurutnya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri kemudiannya dikerahkan ke lokasi dan mendapati tangan kanan mangsa tersepit pada paras pergelangan tangan.

"Semua jari mangsa hancur dan hampir putus akibat kejadian itu," katanya.

Katanya, bomba berjaya meleraikan beberapa komponen mesin berkenaan bagi mengeluarkan tangan mangsa.

"Bagaimanapun, jari mangsa masih sukar dikeluarkan dari salah satu komponen mesin itu," katanya

Katanya, atas nasihat pasukan perubatan, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, tangan mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian dan mangsa dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 11:44 AM