BOMBA berusaha mengeluarkan tangan kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mesin tebu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA berusaha mengeluarkan tangan kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mesin tebu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hancur jari tangan kiri selepas tersepit dalam mesin tebu ketika dia sedang membantu bapanya, hari ini.

Kejadian berlaku di rumahnya di Taman Serkam Jaya di sini, pada 7.45 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.49 malam dan tujuh anggota bersama jentera dikerah ke lokasi.

"Ketika tiba, didapati tangan mangsa hingga pergelangan, tersepit dan kerja menyelamat dijalankan dengan penuh hati-hati, menggunakan peralatan khas.

"Tangan mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 10 minit, namun jarinya hancur," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 11:07 PM