IBRAHIM bersama penduduk kampung menunaikan solat di masjid berdekatan rumahnya.
IBRAHIM bersama penduduk kampung menunaikan solat di masjid berdekatan rumahnya.
IBRAHIM meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.
IBRAHIM meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan


Kajang: Rumah usang peninggalan arwah neneknya di Batu 10, Jalan Cheras di sini, menjadi tempat berteduh bagi warga emas, Ibrahim Mat Tin, 83, yang tinggal sebatang kara sejak lebih 50 tahun lalu.

Warga emas itu berkata, dia tidak kisah menghuni kediaman usang berkenaan, namun yang menjadi kebimbangannya ialah banjir yang kerap melanda lokasi itu setiap kali hujan lebat.

Katanya, anggota bomba pernah datang untuk membantu membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur selepas banjir, namun tidak dibenarkannya kerana risau papan dinding yang sudah reput akan tercabut.

Jika paras air naik terlalu tinggi, Ibrahim akan menumpang berteduh di Masjid Batu 10 yang terletak berhampiran dan hanya pulang selepas banjir surut.

“Saya tak tunggu air naik, baru nak pindah dan akan ke masjid jika hujan lebat risau berlaku perkara tak diingini kerana lokasi rumah berhampiran lereng bukit.

“Sekarang ini saya hidup atas ihsan jiran. Selain itu pihak masjid ada hulurkan sumbangan. Meskipun jumlah diberikan tak besar mana, ia cukup untuk saya teruskan kehidupan.

“Kalau dulu saya tidur atas tilam, namun sudah rosak akibat digenangi air ketika banjir, jadi sekarang sekadar alas tikar saja,” katanya ketika ditemui.

Menceritakan mengenai hidupnya, Ibrahim berkata, dia kini hidup sebatang kara kerana tujuh adik-beradik yang lain sudah lama meninggal dunia.

Ibrahim yang juga anak bongsu daripada lapan adik-beradik berkata, dia tidak mempunyai saudara-mara terdekat untuk meminta bantuan, namun warga emas itu bersyukur kerana jiran dan penduduk kampung terbabit kerap singgah untuk bertanya khabar.

“Adik-beradik saya meninggal dunia sekitar 1950-an. Sekarang ini untuk hilangkan rasa sunyi saya mendengar radio lama dan membelai kucing yang datang ke rumah.

“Kalau terlalu bosan saya akan ke warung berhampiran untuk bersembang dengan kenalan, jika tidak ada orang saya ke masjid,” katanya.

Bekas anggota polis itu yang menghidap masalah darah tinggi berkata, ada rakan yang menyarankan dia tinggal di rumah orang tua, namun keberatan untuk meninggalkan rumah pusaka berkenaan.

Katanya, dia sedar makan minumnya di rumah orang tua akan lebih terjaga, namun lebih selesa tinggal di rumah usang berkenaan.

“Namun jika selepas ini saya tidak dapat bergerak sendiri atau terlalu uzur, mungkin saya terima tawaran untuk tinggal di rumah orang tua. Sekarang saya tak mahu menyusahkan orang lain,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung Batu 10, Tun Mamat Hashim, 45, berkata, penduduk sentiasa mengambil tahu mengenai keadaan semasa Ibrahim.

Tun Mamat berkata, setiap kali Aidilfitri, pihaknya akan memberikan baucar kepada Ibrahim bagi membolehkan warga emas itu membeli baju baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:34 AM