Ahmad Suhael Adnan; Sharifah Mahsinah Abdullah dan Ismail Muhamad


PEGUAM mewakili PAS, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memenangi semua permohonan interlokutori dalam kes saman fitnahnya terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Wan Rohimi kini dipercayai berada di United Kingdom bagi mengikuti kes berkenaan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi London, hari ini.

“TGHH (Tok Guru Haji Hadi) menang semua lima permohonan interlokutori! Sarawak Report diperintah membayar keseluruhan kos £28,900 (RM155,791),” katanya menerusi Facebook, lewat malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dihubungi bagi mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima khabar positif dari London.

“Kita menerima khabar positif. Maklumat lanjut akan diberikan menerusi kenyataan media esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau menerima berita gembira malam tadi di majlis memperkenalkan calon PAS di Kubang Kerian.

"Saya ingin memaklumkan bahawa kemungkinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang menang dalam kes saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi London terhadap artikel yang disiarkan Sarawak Report.

"Dengan berita ini membuktikan segala tuduhan dan fitnah oleh pihak tertentu kepada PAS adalah satu fitnah dan tidak benar sama sekali.

"Kami berharap ia dapat membersihkan nama presiden parti dan juga PAS tiada rancangan untuk menyaman pihak yang memfitnah parti kami," katanya kepada pemberita selepas majlis itu malam tadi.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Ia berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Saman terbabit difailkan peguam Abdul Hadi, Carter-Ruck, bagi mendapatkan perintah injuksi dan ganti rugi berhubung artikel di laman web terbabit bertajuk ‘As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections’.

Berita berkaitan

Insya-Allah, menang kes saman fitnah di London

Presiden PAS saman pengarang Sarawak Report

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 1:03 AM