Redzuan Muharam


Johor Bahru: "Saya suka mengaji sebab saya sayang Allah dan mahu jadi hafiz al-Quran," demikian jawapan spontan Muhammad Lutfi Rabbani Mohammad Rahmat yang berusia sembilan tahun ketika ditanya mengapa dirinya gemar membaca al-Quran.

Kecintaan Muhammad Lutfi terhadap al-Quran sangat menebal sehingga aktiviti mengaji menjadi salah satu rutin harian yang wajib.

Ia diakui ibunya, Rohaya Mahat dari Taman Pelangi Indah, di sini yang menyedari minat Muhammad Lutfi Rabbani sejak berusia enam tahun .

Lebih mengagumkan Rohaya apabila anak bongsunya yang mesra disapa Lutfi itu berani menyertai pelbagai pertandingan mengaji, hafazan dan azan malah sering menyatakan keinginan muncul di kaca televisyen.

"Saya dan suami menghantar Lutfi belajar mengaji dengan seorang imam di masjid ketika dia berusia lima tahun.

"Sejak itu, kami nampak minatnya terhadap al-Quran dan ia semakin ketara apabila dia berani menyertai pelbagai program mengaji, hafazan dan azan sejak tiga tahun lalu selain suka membuat panggilan sekiranya ada program keagamaan di kaca televisyen.

"Sebagai ibu, saya tentunya gembira terutama apabila melihat pembabitannya membuahkan hasil hingga merangkul gelaran johan pertandingan hafazan sempena Maulidur Rasul 2019, naib johan pertandingan azan 2018 dan pertandingan hafazan sekolah rendah peringkat daerah Pasir Gudang tahun lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Lutfi gemar  menyertai pertandingan mengaji, hafazan dan azan sejak berumur enam tahun. FOTO Ihsan Rohaya Mahat
MUHAMMAD Lutfi gemar menyertai pertandingan mengaji, hafazan dan azan sejak berumur enam tahun. FOTO Ihsan Rohaya Mahat

Menurut Rohaya, buat masa ini, Lutfi belum menghafaz Al-Quran sebaliknya hanya juzuk terakhir saja.

Namun, dia dan suami tidak henti memberi galakan kepada anaknya sehingga dapat menghafaz Al-Quran satu hari nanti.

"Lutfi mengaji setiap hari dan kebiasaannya selepas solat Zuhur dan Maghrib.

"Rutinnya adalah mengaji di sebelah anak sulung saya, Nur Rifdah Naurah (13) iaitu kakaknya yang terlantar sejak lahir kerana masalah kelewatan pembangunan global (GDD).

"Walaupun Nur Rifdah Naurah tidak boleh bercakap namun dia dan Lutfi seoolah-olah dapat berhubung dengan satu sama lain menerusi bacaan Al-Quran,"katanya.

MUHAMMAD Lutfi bersama ibu, Rohaya. FOTO Ihsan Rohaya Mahat
MUHAMMAD Lutfi bersama ibu, Rohaya. FOTO Ihsan Rohaya Mahat

Sementara itu, suaminya, Mohammad Rahmat Abd Jalal yang juga guru Pendidikan Moral Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi Indah menyifatkan Lufti sebagai anugerah istimewa dari Allah buatnya dan isteri.

Mohammad Rahmat berkata,dia dan isteri akan terus beri galakan supaya minat anaknya itu berterusan hingga dewasa sekaligus mencapai cita-citanya bergelar hafiz

"Sejak kecil lagi, Lutfi sudah pasang niat menjadi hafiz dan naluri semulajadinya memang sukakan al-Quran.

"Saya lihat dia seorang kanak-kanak yang terang hati dan mudah menerima ilmu jadi sebagai bapa, saya cuba membantunya memperkuatkan asas dan ilmu agama.

"Dia belum khatam al-Quran dan menghafaz kesemua juzuk namun saya yakin dia mampu lakukannya.

"Diharap, Lutfi akan mendapat bimbingan daripada orang yang tepat untuk menggapai impiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 9:29 PM