ATLET negara menyaksikan Jalur Gemilang dinaikkan di perkampungan temasya sukan itu hari ini. -Foto BERNAMA
ATLET negara menyaksikan Jalur Gemilang dinaikkan di perkampungan temasya sukan itu hari ini. -Foto BERNAMA
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

KONTINJEN negara menghantar 178 atlet (102 lelaki dan 76 wanita) bertanding dalam 16 jenis sukan di Sukan Komanwel Gold Coast yang akan disingkap tirainya, esok.

Berikut 10 atlet negara yang perlu diberi tumpuan dan menjadi pertaruhan kontinjen negara untuk membutirkan pingat emas sepanjang temasya kedua terbesar dunia itu:

LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI

1. LEE CHONG WEI (BADMINTON)

Pemain nombor enam dunia ini bertekad untuk meletakkan namanya sebagai atlet paling berjaya di Sukan Komanwel. Selepas mengumpul koleksi empat pingat emas setakat ini, pemenang tiga perak Sukan Olimpik itu berpeluang untuk mengatasi rekod yang dipegang beregu negara, Koo Kien Keat yang memenangi lima emas di Komanwel. Chong Wei dijadual bertanding dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran di Gold Coast.  Pemain dari India menjadi ancaman utama Chong Wei dalam acara perseorangan malah negara itu turut diletakkan sebarang pilihan utama dalam acara berpasukan campuran. Australia dianggap penampilan terakhir Chong Wei di temasya kedua terbesar dunia ini.

PANDELELA RINONG
PANDELELA RINONG

2. PANDELELA RINONG (TERJUN)

Atlet kelahiran Sarawak ini adalah penerjun paling berjaya di negara ini dengan deretan koleksi pingat di Kejuaraan Dunia, Olimpik dan beberapa lagi kejohanan utama.  Begitupun, prestasinya ketika ini boleh dianggap agak terumbang ambing terutama dalam acara individu susulan masalah kecederaan yang dihadapi. Pandelela menjadi atlet negara pertama memenangi pingat emas dalam acara terjun di Komanwel apabila mengungguli acara 10 meter platform individu wanita di New Delhi 2010 diikuti perak di Glasgow, empat tahun kemudian. Di Gold Coast, dia akan bertanding dalam acara platform individu dan seirama bersama Cheong Jun Hoong.   Berdasarkan prestasi semasanya, dia dan Jun Hoong adalah pilihan bagi acara platform seirama tetapi mereka perlu menampilkan prestasi terbaik untuk mengatasi gandingan dari Kanada, Australia dan England yang standard mereka tidak jauh ketinggalan.

CHEONG JUN HOONG
CHEONG JUN HOONG

3. CHEONG JUN HOONG (TERJUN)

Jun Hoong mencipta kejutan apabila menjadi atlet terjun pertama negara memenangi pingat emas di Kejuaraan Dunia tahun lalu di Budapest, Hungary.  Begitupun, sejak itu, dia tidak berjaya untuk meneruskan kecemerlangan susulan bergelut dengan masalah kecederaan belakang. Dikenali sebagai atlet yang beraksi dengan cukup cemerlang ketika latihan, bagaimanapun Jun Hoong boleh dijerut dengan tekanan ketika kejohanan. Seperti Pandelela, atlet berusia 28 tahun ini turut beraksi dalam acara platform individu dan seirama di Gold Coast. Ironinya, Jun Hoong tidak pernah memenangi sebarang pingat di temasya Komanwel tetapi dia berpeluang untuk melakukannya tahun ini.

AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI AWANG

4. AZIZULHASNI AWANG (BERBASIKAL TREK)

Impian atlet kelahiran Dungun, Terengganu ini untuk memenangi pingat emas Komanwel pertamanya bergantung terhadap tahap kecergasannya selepas dia masih lagi bergelut dengan masalah jangkitan virus. Azizulhasni yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan (2010) dan keirin (2014), akan bertanding dalam acara pecut dan keirin di Gold Coast. Jaguh berbasikal trek negara itu bertekad untuk bangkit susulan kegagalannya mempertahankan kejuaraan dunia di Belanda, bulan lalu. Dia sepatutnya tidak berdepan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Gold Coast kerana sudah berlatih di Melbourne sejak 11 tahun lalu. Bagaimanapun, Azizulhasni dijangka berdepan dengan tugas mencabar apabila lawannya adalah antara atlet berbasikal terbaik dunia dari Australia dan England.

NAURAJ SINGH
NAURAJ SINGH

5. NAURAJ SINGH RANDHAWA (OLAHRAGA)

Atlet berusia 26 tahun itu dilihat sebagai prospek terbaik negara untuk menamatkan kemarau 16 tahun penantian pingat emas dalam acara olahraga.  Dengan catatan terbaik 2.30 meter, pemenang tiga kali Sukan SEA itu berpeluang bukan saja untuk melakukan kejutan dengan menamatkan saingan di pentas podium, malah memenangi pingat emas jika dia berjaya mengulangi catatan ketika melakukan rekod kebangsaan. Sekalipun hanya mempunyai catatan terbaik 2.24 meter pada tahun ini, Nauraj sudah menjalani latihan intensif di Australia sejak penghujung 2017 di bawah kendalian jurulatih Alex Stewart dalam usahanya memenangi pingat di Stadium Carrara pada 11 April ini. Atlet Australia, Brandon Starc, jaguh India, Tejaswin Shankar dan atlet Bahamas, Jamal Wilson yang kesemuanya sudah melepasi catatan 2.28 meter tahun ini dijangka pencabar utama untuk pingat emas.

NICOL DAVID
NICOL DAVID

6. NICOL DAVID (SKUASY)

Juara dunia lapan kali itu menyasarkan untuk memenangi pingat emas ketiga berturut-turut di temasya Sukan Komanwel. Justeru, atlet kelahiran Pulau Pinang itu tiba lebih awal di Gold Coast untuk mendapatkan keserasian dengan gelanggang di Oxenford Studios. Hadir selaku pemain nombor tiga dunia, atlet berusia 35 tahun itu mendapat bye pada pusingan pertama ketika acara skuasy membuka tirainya, 5 April ini. Tidak seperti dua edisi sebelum ini, Nicol bukan lagi calon pemenang emas tetapi juara Terbuka British lima kali itu boleh membuat kejutan dengan kualiti dan semangat juang yang dimilikinya.  Dia membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel ketika berusia 15 tahun dengan Kuala Lumpur menganjurkannya pada 1998.

MUHAMMAD AZROY HAZALWAFIE IZHAR AHMAD
MUHAMMAD AZROY HAZALWAFIE IZHAR AHMAD

7. AZROY HAZAL WAFIE IZHAR AHMAD (ANGKAT BERAT)

Atlet angkat berat yang bernaung dengan program podium ini adalah harapan utama negara untuk memenangi pingat emas berikutan penggantungan bekas pemenang edisi, Hafifi Mansor akibat doping (steroid anabolic).  Azroy akan memulakan kempennya pada 5 April ini dalam kategori 56 kilogram (kg) di mana dia berhasrat untuk menamatkan kemarau negara yang kali terakhir memenanginya pada 2010 (New Delhi) menerusi Amirul Hamizan Ibrahim.  Ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, atlet kelahiran Rompin, Pahang itu berjaya melakukan angkatan 258kg. 

AFIQ AFIFY RIZAN (BELAKANG) DAN KHAIRUL ADHA RASUL
AFIQ AFIFY RIZAN (BELAKANG) DAN KHAIRUL ADHA RASUL

8. AFIQ AFIFY RIZAN-KHAIRUL ADHA RASOL (BERBASIKAL TREK PARA)

Atlet berbasikal trek para negara, Afiq Afify Rizan and pilot Mohd Khairul Adha Rasol pasti terdesak untuk bangkit di Gold Coast berikutan kegagalan mereka untuk mendaki podium di kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Rio de Janeiro, Brazil, bulan lalu.  Pemenang dua kali Para Asia itu tersingkir di separuh akhir dalam acara pecut tandem lelaki (B) di Rio kepada atlet Scotland, Neil Fachie-Matthew Rotherham.  Afiq-Khairul adalah atlet berbasikal para tunggal yang beraksi di Gold Coast dan akan bertanding dalam dua acara iaitu tandem (B) 1 kilometer (km) ujian masa pada 5 April dan pecut pada 7 April ini di Velodrom Anna Meares.  Mereka tampak berpeluang untuk mencabar kedudukan podium dalam acara ujian masa selepas melakukan rekod baharu Asia dalam acara 1km di Rio.   Gandingan negara itu melakukan catatan 1:04.192 saat untuk berada di kedudukan kelapan dalam acara 1km ujian masa sekali gus memadam rekod Asia 1:04.266s yang dibuat gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiro-Yasufumi Ito pada temasya Paralimpik 2012 di London.

EMMA FIRYANA SAROJI
EMMA FIRYANA SAROJI

9.EMMA FIRYANA SAROJI (BOLING PADANG)

Emma adalah salah seorang atlet boling padang terbaik di dunia dan membuktikan kejaguhannya apabila memenangi Kejuaraan Dunia pada 2015. Atlet berusia 31 tahun itu berharap untuk memperoleh keputusan lebih baik di Gold Coast selepas hanya memenangi perak pada edisi empat tahun lalu di Glasgow. Dia yang menjadikan rakan senegara yang juga juara dunia dua kali acara perseorangan, Siti Zalina Ahmad sebagai inspirasi akan bertanding dalam kategori perseorangan dan regu. Emma dijangka akan digandingkan dengan Siti Zalina dalam acara regu.

JOHNATHAN WONG GUANJIE
JOHNATHAN WONG GUANJIE

10. JOHNATHAN WONG GUANJIE (MENEMBAK)

Ia menjadi detik paling membanggakan buat Johnathan pada dua tahun lalu apabila layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio, Brazil secara merit selain menewaskan juara Olimpik dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh untuk memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 50 meter pistol dan 10 meter air pistol. Gold Coast adalah temasya Komanwel keduanya selepas Glasgow (2014) di mana dia menamatkan saingan di tangga ketujuh dalam acara air pistol. Atlet kelahiran Melaka itu teruja untuk beraksi di Australia kerana ia menjadi kejohanan antarabangsa pertamanya sejak Sukan SEA lalu dan sudah berlatih bersungguh-sungguh bagi mempersiapkan mental dan fizikalnya bagi menghadapi temasya berkenaan.  Dia percaya boleh menamatkan saingan di kedudukan podium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 7:50 PM