Madagascar hissing cockroach.
Madagascar hissing cockroach.
DARI kiri Norshahieral Maizal, Heng dan Gee menunjukkan kepompong kumbang dalam kinshi (warna putih), daun kelapa dan Giant Malaysia Katydid dewasa ketika ditemui di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.
DARI kiri Norshahieral Maizal, Heng dan Gee menunjukkan kepompong kumbang dalam kinshi (warna putih), daun kelapa dan Giant Malaysia Katydid dewasa ketika ditemui di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Usaha memastikan pengkayaan serangga dalam kawalan bukan mudah dan tugas itu dipikul sebaik mungkin tiga wanita muda yang dikenali sebagai pakar serangga di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRM) di sini.

Gee Song Tin, Heng Xiao Yan dan Norshahieral Maizal Semail masing-masing berusia 25 tahun menjadi watak penting dalam memulihara serangga di situ baik dari segi kawalan, pengkayaan, pembiakan dan kajian serta penyelidikan (R&D).

Bagi Song Tin, dia bersama dua lagi rakannya itu melakukan tugas pembersihan serangga, sangkar dan paling utama aspek pembiakan.

“Kami aturkan tugas mengikut penjadualan berbeza, namun paling penting dalam pembiakan.

“Sebagai pakar serangga, kami perlu mengutip telur terdiri daripada belalang, belalang daun, kumbang mahupun mentadak setiap hari atau sebulan sekali mengikut spesies.

“Telur yang dikutip dimasukkan ke dalam satu bekas dan disimpan untuk pengeraman dalam makmal mengikut suhu bilik iaitu dari 25 hingga 27 darjah Celsius,” katanya.

Kelihatan mudah, namun Song Tin dan dua rakannya menegaskan tugas itu mencabar, namun mereka tiada masalah melaksanakannya disebabkan minat dan rasa cintakan serangga.

Sementara itu, Norshahieral berkata, TRRM memiliki 40 hingga 90 serangga mengikut spesies dan semuanya hasil pembiakan dalam makmal.

“Serangga yang kami ada ini antaranya digolongkan dalam spesies terancam dan ada juga dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 2010.

Antaranya, Moving Leaf Insect (belalang daun), Malayan Jungle Nymph dan keluarga mentadak mendadu Orchid Mantis,” katanya.

Bagi Xiao Yan, cabaran membiakkan serangga sentiasa mencabar kerana setiap daripadanya mempunyai cara, persekitaran dan proses pembiakan berbeza.

“Sebagai pakar serangga, kami di TRRM perlu sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana kita terlalu jauh di belakang negara maju seperti Jepun dan Korea. Selain melihat kaedah yang digunakan negara itu, kami menjalankan R&D sendiri,” katanya.

Mereka sependapat masyarakat negara ini belum cukup kesedaran mengenai pemuliharaan serangga dan kepentingannya.

Meskipun mempunyai semangat berkobar-kobar dalam bidang itu, kekangan dana dalam melakukan R&D menjadikan kerja mereka lebih perlahan dan perlu mencari alternatif lain, selain perlu kreatif dalam menggantikan bahan yang perlu diimport dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 7:53 AM