PETIKAN rakaman video yang tular mendakwa lelaki meraba paha wanita dalam LRT, baru-baru ini. FOTO ihsan NST Online
PETIKAN rakaman video yang tular mendakwa lelaki meraba paha wanita dalam LRT, baru-baru ini. FOTO ihsan NST Online
Muhammad Saufi Hassan


“SAYA nampak sendiri pak cik itu hanya ingin menarik jubahnya dan langsung tidak berniat untuk melakukan perbuatan tidak senonoh seperti yang tular di laman sosial,” kata seorang pengguna transit aliran ringan (LRT), Karl Jeffrey Ramesh, 24.

Dia tampil menerangkan kedudukan sebenar memandangkan lelaki warga emas itu menjadi mangsa fitnah menerusi laman sosial apabila dituduh meraba seorang wanita di dalam LRT.

Beberapa hari lalu, tular video di laman sosial berhubung lelaki terbabit yang didakwa meraba paha seorang penumpang wanita di dalam LRT sehingga mencetuskan kemarahan netizen.

Gelagat lelaki itu yang kononnya meraba paha wanita yang duduk di sebelahnya dan tidur dirakamkan penumpang lain yang duduk bertentangan.

Karl Jeffrey berkata, dia berasa bertanggungjawab menerangkan kedudukan sebenar memandangkan kejadian itu berlaku di depannya.

“Saya tidak dibayar sesiapa. Saya tampil menerangkan kedudukan sebenar atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“Pak cik itu menarik kain jubahnya perlahan-lahan kerana tidak mahu mengejutkan wanita itu yang tidur. Saya nasihatkan netizen perlu lihat video itu dengan teliti dan tidak membuat fitnah,” katanya.

Dia mempersoalkan tindakan individu yang merakam kejadian itu dan memuat naik video berkenaan sedangkan perakam terbabit boleh menegur di tempat kejadian.

“Kenapa perlu memuat naik video berkenaan? Kenapa tidak tegur saja pak cik itu dalam LRT berkenaan? Pak cik itu sudah menjadi mangsa dan netizen terus mengecam tanpa usul periksa.

“Saya pernah menjadi mangsa tular apabila dompet yang mengandungi kad pengenalan hilang beberapa tahun lalu. Ada individu tidak bertanggungjawab memuat naik gambar kad pengenalan saya dan menyatakan saya mati akibat kemalangan,” katanya.

Menurutnya, netizen perlu lebih berhati-hati dan tidak memuat naik video dengan sewenang-wenangnya jika tidak mengetahui perkara sebenar kerana ia boleh mengaibkan pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 10:57 PM