SHUREENA mengajar anak murid teknik menyelam.
SHUREENA mengajar anak murid teknik menyelam.
RENANGAN duyung satu pendekatan menyeronokkan untuk kanak-kanak.
RENANGAN duyung satu pendekatan menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Olivia Miwil


Kota Kinabalu: Selepas hampir empat dekad, tercapailah impian wanita berusia 51 tahun ini untuk menjadi duyung.

Shureena Ng yang biasa mendiami perkampungan air di sini, pernah menyimpan hasrat untuk melihat ikan duyung ketika usianya tujuh tahun.

“Meskipun ketika 1970-an, filem hitam putih-sama ada P Ramlee, Cina dan Inggeris, ada memaparkan ikan duyung.

“Saya teruja apabila menonton atau membaca apa saja berkaitan ‘makhluk’ ini,” katanya menambah, sehinggalah tiga tahun lalu, Shureena mendapat tahu menerusi Internet, impian bergelar ikan duyung mampu menjadi kenyataan di negara Barat.

Katanya, berenang umpama duyung kombinasi gaya renang ikan lumba-lumba dan kuak rama-rama.

Shureena yang membesar di perkampungan air berkata, semua kanak-kanak di kampungnya termasuk dirinya belajar berenang sendiri tanpa perlu ke kelas renang.

“Saya belajar renangan duyung menerusi video di Internet dan ia meningkatkan kemahiran renang saya.

“Ketika saya memulakan hobi ini tiga tahun lalu, saya berlatih di Sungai Babagon di Penampang kerana saya tak pasti jika kolam renang umum membenarkan aktiviti sedemikian,” katanya.

Hanya ketika melakukan renangan duyung di kompleks sukan Penampang dan kolam renang peribadi, orang ramai mula bertanya untuk mempelajarinya.

Shureena yang juga mengajar muzik, seni dan kelas membuat kek, mempunyai 30 pelajar berusia di antara lima hingga 58 tahun yang mempelajari kaedah renangan duyung atau mereka yang mahu meningkatkan kemahiran renang termasuk teknik pernafasan untuk tujuan menyelam.

Menurutnya, renangan duyung satu pendekatan menyeronokkan terutama kepada kanak-kanak yang belajar berenang.

Bagi mereka yang teringin menjadi duyung, banyak yang perlu dipelajari mengenai kaedah berenang dengan lenggok gemalai di air.

Bagaimanapun untuk permulaan, mereka perlu melakukannya mengikut bimbingan yang tepat dengan mengutamakan keselamatan.

Di samping menyediakan kelas renang, menerusi penyelidikan beberapa tahun, Shureena boleh menghasilkan pakaian duyung untuk berenang dan tahan lama.

Ada beberapa jenis pakaian duyung bergantung kepada pilihan individu sama ada rekaan yang kelihatan semula jadi atau ala dongeng, serta diperbuat daripada bahan fabrik atau silikon.

Minatnya kepada sukan kecergasan air yang baru ini menyebabkan dia ditawarkan melakukan penggambaran komersial di laut.

Dia berenang dengan pakaian duyung di Taman Tunku Abdul Rahman di sini pada kedalaman lapan meter tanpa penggunaan oksigen untuk tiga projek.

Malah, dia turut ditawarkan mengadakan persembahan duyung serta berharap lebih ramai komuniti duyung lantaran persembahan sedemikian boleh dijadikan acara amal.

Aktiviti renangan duyung Shureena boleh dilihat menerusi Sabah Mermaid Shureena di Facebook dan Youtube.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 9:53 AM