FACHRI berehat seketika berlakon sinetron kerana mahu fokus pada filem.
FACHRI berehat seketika berlakon sinetron kerana mahu fokus pada filem.
Ramlah Zainal


Nama aktor kacak Fachri Albar meniti di bibir peminat di Indonesia dan Malaysia menerusi sinetron Malin Kundang lebih sedekad lalu.

Selepas menjayakan puluhan sinetron dan filem, Fachri, 35, yang juga anak pasangan vokalis God Bless, Ahmad Albar dan Rini S Bono ini terus bertahan meski ramai bakat baru mewarnai industri hiburan Indonesia ketika ini.

Antara filem lakonannya ialah Alexandria, Pintu Terlarang, Kala, Jakarta Undercover dan Pengabdi Setan.

Walaupun berpengalaman, pelakon berdarah kacukan Arab ini mengakui masih gementar setiap kali menjayakan babak pertama sesebuah karya.

“Terus terang, saya sangat pemalu tetapi ramai pengarah tidak percaya perkara ini. Ia adalah realiti diri saya yang orang lain tidak tahu.

“Ramai pengarah di Indonesia memanggil saya ‘diesel’ atau lambat panas. Apabila lama berada di lokasi filem mahupun iklan, barulah ‘mood’ berlakon datang.

“Saya juga berjuang melawan semua rasa takut dan gementar itu dengan memberikan kualiti terbaik pada setiap lakonan.

Sebab itu, saya banyak bekerjasama dengan pengarah terkenal Joko Anwar kerana dia sangat memahami saya sejak dulu,” katanya.

Fachri turut berkongsi pengalaman itu menerusi siri web berjudul Gue Decide yang dibawakan KapanLagi Network dengan kerjasama Slate.

“Dalam siri berjudul The Stories, saya juga bercerita mengenai pelbagai perkara termasuk perjuangan berdepan dengan diri sendiri,” katanya.

Siri Gue Decide arahan Ardy Octaviand, Sim F dan Surya Adi Susianto itu turut memaparkan selebriti lain seperti Rio Dewanto, Joko Anwar, Dipha Barus dan Maruli Tampubolon.

Mengenai filem terbaru, Fachri mengakui dia sangat memilih karakter yang ditawarkan.

“Ada beberapa projek filem baru yang masih dalam perbincangan termasuk dengan Joko. Saya juga berehat seketika berlakon sinetron kerana mahu fokus pada filem.

“Selain berlakon, saya juga menyanyi dengan band rock Jibrail di Indonesia,” katanya.

Watak Reyhan mencabar

Watak Reyhan yang juga sukarelawan Muslim Care dalam filem Bukan Cinta Malaikat memberi cabaran tersendiri buat Fachri.

Menerusi filem cinta tiga segi arahan Aziz M Osman itu, Fachri turut bergandingan dengan barisan pelakon Malaysia-Indonesia antaranya Nora Danish (Dewi), Ashraf Muslim (Adam) dan Donita.

Menurut Fachri, dia menimba pengalaman menarik sepanjang bekerjasama dengan produksi itu.

“Ia kali pertama saya bekerjasama dengan dengan produksi dari Malaysia. Selain menimba pengalaman berbeza, ia juga pengalaman pertama saya menunaikan umrah.

“Apa yang mencabar, skrip dalam bahasa Malaysia dan saya perlu memahaminya setiap malam sebelum penggambaran dimulakan. Semua babak dalam filem ini sukar kerana saya sangat mementingkan kepuasan diri. Selagi tidak puas hati dengan hasilnya , saya minta babak itu dibuat semula. Saya juga suka bekerja dengan Nora kerana dia profesional sepanjang penggambaran,” katanya.

Fachri juga berharap filem itu akan membuka laluan menempa nama di Malaysia.

“Saya berharap lakonan diterima dan filem ini mendapat sambutan daripada peminat di Malaysia,” katanya.

Bukan Cinta Malaikat mengisahkan Dewi dibawa neneknya, Suraya ke Masjid Nabawi, Madinah agar dapat melupakan kekasihnya, Adam.

Di sana, berlaku insiden apabila Dewi ditangkap pihak berkuasa. Bagaimanapun, Dewi berjaya membebaskan diri selepas dibantu Reyhan yang berasal dari Indonesia.

Dewi kembali ke kampung halamannya di Terengganu dan Adam tiba-tiba muncul untuk menagih kembali cintanya.

Dewi pada mulanya keberatan namun akhirnya menerima Adam dan mereka berkahwin di Pekan Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Filem Bukan Cinta Malaikat ditayangkan di pawagam tanah air sejak 25 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:22 AM