DEWI sudah cukup gembira ada single, sering terima undangan menyanyi.
DEWI sudah cukup gembira ada single, sering terima undangan menyanyi.
Ardini Sophia Sina


Nama Dewi Liana Seriestha bukanlah dikenali ramai dengan ribuan peminat tetapi bakatnya bukan calang-calang. Dia pernah menang lima kategori utama di pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Lebih membanggakan apabila dia peserta Malaysia pertama menang Miss Talent pada pusingan akhir pertandingan Miss World 2014 di London.

Turut menyertai pertandingan Bintang Kecil, Dewi mungkin hanya terkenal selepas menang Miss Malaysia World 2014 kerana mencipta kontroversi kecil apabila ada tersalah anggap agama dianutinya.

Namun, pencapaiannya harus dibanggakan bukan hanya keluarga dan peminat tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Tidak dinafikan ada segelintir yang melihat seni sebagai perkara kecil tetapi dia masih membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, penyanyi keturunan Bidayuh-Indonesia ini tidak kisah pun andai namanya sebagai penyanyi tidak popular seperti penghibur lain.

Baginya, mempunyai single sendiri dan sering memeriahkan majlis tertentu dengan nyanyiannya sudah memadai.

Katanya, dia tidak terdesak menaikkan namanya di persada seni. Dia sudah cukup gembira kerana dapat menjadikan bidang seni suara sebagai kariernya.

“Tidak ada apa yang perlu saya bimbangkan dan tidak perlu cemburu dengan rezeki orang lain. Setiap orang mempunyai perjalanan seni yang berbeza dan saya berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini.

“Mungkin jawapan saya agak klise tapi sejujurnya itulah yang saya rasakan. Kenapa perlu terlalu mengejar populariti? Saya suka dengan apa yang saya lakukan dan semuanya berjalan lancar.

“Saya ada peminat sendiri dan mereka sendiri tahu usaha saya untuk muncul dengan lagu sendiri. Rasa cinta pada muzik tidak pernah padam. Malah saya pernah mengikuti pertandingan Mentor sebagai protege Liza Hanim dan mengambil jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya boleh menarik nafas lega kerana peminat banyak memberi semangat agar saya terus bertahan dan meneruskan kerja keras untuk bergelar penyanyi disegani,” katanya.

Muncul dengan single Seindah Berdua, Dewi berharap lagu yang berunsurkan balada itu melonjakkan namanya sebaris penyanyi sedia ada.

“Saya tidak ada strategi tertentu untuk memperkenalkan diri sebagai penya­nyi. Cuma berharap lagu pertama ini memberi impak baik kepada kerjaya sekali gus membuka peluang lebih besar dalam industri.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk menyiap­kan lagu itu. Andai ada masa terluang, saya akan gunakan waktu untuk menulis lagu. Lirik pula selalunya saya ambil daripada kisah sendiri dan pengalaman orang sekeliling,” katanya.

Selain nyanyian, Dewi turut meminati dunia lakonan dan pengacaraan. Bukan bersifat tamak, namun ia adalah rezeki yang tidak seharusnya ditolak begitu saja.

Wanita tinggi lampai itu tidak pernah membataskan kariernya hanya dalam seni suara. Sekiranya tidak terikat dengan tugasan nyanyian, Dewi akan mengintai peluang berlakon mahupun mengacara.

Dewi pernah muncul dalam beberapa drama dan telefilem seperti Kembali, Nilai Cinta Diana dan Patung Cinta untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM). Dewi juga bakal muncul dalam filem Malaun yang baru saja selesai penggambarannya bulan lalu.

“Walaupun saya berlakon dan mengacara, nyanyian adalah keutamaan. Apa pun saya tidak akan sesekali menolak tawaran menyanyi walaupun sedang sibuk dengan penggambaran.

“Pernah sekali saya berada di Sabah untuk penggambaran travelog berkisarkan makanan tempatan Sabah dan Sarawak, saya sanggup pulang ke Sarawak walaupun cuma sehari kerana memenuhi jemputan menyanyi.

“Saya tidak pernah berasa letih dengan cara hidup ini. Selagi masih muda, saya akan lakukan yang terbaik demi masa depan. Saya pernah juga ke Indonesia kerana diundang menyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:18 AM