Janna pilih kereta supaya ibunya lebih berkeyakinan. FOTO Ehsan IG Janna Nick.
Janna pilih kereta supaya ibunya lebih berkeyakinan. FOTO Ehsan IG Janna Nick.
Najiy Jefri


PELAKON Janna Nick, 23, membuat kejutan dengan menghadiahkan ibunya kereta mewah Mercedes-Benz CLA 200 yang dianggarkan bernilai lebih RM230,000.

Hadiah itu diberikan sempena ulang tahun kelahiran ibunya, Shasha yang ke-44 tahun, semalam.

Kata Janna, ibunya tidak pernah meminta sebarang hadiah mewah malah selalu berpesan supaya jangan membazir.

“Saya pun tak pakai kereta mewah. Namun sebagai anak, tak salah untuk berbelanja kepada orang yang kita sayang terutama ibu yang melahir dan membesarkan saya selama ini.

“Saya percaya kalau kita mendahulukan ibu dan keluarga dalam segala hal, Allah pasti memberi rezeki yang banyak. Lagi pula tidak perlu nak kedekut dengan ibu bapa dan adik beradik sendiri.

“Rezeki yang saya ada sekarang pun berkat daripada doa dan restu mereka. Jadi, tak salah untuk saya berkongsi,” katanya kepada Harian Metro.

Janna memilih kereta sebagai hadih sempena hari jadi kerana ingin ibunya lebih yakin.

“Mak saya seorang yang kurang berkeyakinan. Jadi saya harap dengan hadiah ini dia lebih berani.

“Jauh di sudut hati seorang ibu, saya pasti dia gembira dengan apa yang diterima. Saya bukannya ingin menunjuk-nunjuk atau riak, sebaliknya berkongsi kegembiraan ini dengan semua orang.

“Saya berharap ia juga boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk lebih menghargai dan membalas jasa orang tua dalam apa cara sekali pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 4:53 PM