Asrizal Aris


“TERSEPIT antara dua. Saya sangat sayangkan kerja jadi pengawal, pada masa sama saya juga ada impian untuk jadi juru solek,” kata Sri Mahyuni Munif, 19, pengawal keselamatan wanita yang tular baru-baru ini.

Dia berkata demikian ketika Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menawarkan beberapa saluran untuk menyambung pelajaran dan kelas kemahiran kepadanya selepas kisah hidupnya terpaksa berhenti sekolah disiarkan Harian Metro, Selasa lalu.

Sri Mahyuni yang mesra dengan panggilan Yuni berkata, dia memerlukan masa yang agak panjang untuk mempertimbang perkara itu serta mahu berbincang dengan ibu bapanya sebelum membuat keputusan.

Yuni gagal menahan sebak apabila diberi peluang menyambung pelajaran. FOTO Hafiz Sohaimi
Yuni gagal menahan sebak apabila diberi peluang menyambung pelajaran. FOTO Hafiz Sohaimi

Kata Yuni, seandainya dia terpaksa berhenti bekerja, segala perbelanjaan dan keperluan keluarga akan terganggu memandangkan gaji yang diperolehinya kini cukup untuk menampung komitmen berkenaan.

"Ayah belum sihat sepenuhnya untuk bekerja. Jika hanya mengharapkan gaji ibu yang kerja sebagai pembantu kedai makan, tidak cukup untuk membayar sewa rumah dan keperluan dapur.

"Saya juga sayangkan pekerjaan pengawal keselamatan sekolah kerana saya gembira dan tenang dapat bermain dengan kanak-kanak.

"Tapi saya ada impian macam orang lain untuk habiskan pelajaran dan ada ilmu menjalankan perniagaan sendiri," katanya ketika ditemui di Pejabat GPMS, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, seandainya dia diizinkan untuk menyambung pelajaran dia memilih untuk memasuki kelas kemahiran solekan kerana menjadi impiannya untuk menjadi juru solek dan ahli perniagaan.

Yuni berkata, dia menjadikan ikon tutorial solekan di media sosial, Nur Nabilah Zulyadaini atau MUA Bellaz sebagai idolanya.

Yuni meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran menyambung pelajaran. FOTO Hafiz Sohaimi
Yuni meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran menyambung pelajaran. FOTO Hafiz Sohaimi

"Saya suka mekap dan teringin mahu buat tutorial teknik solekan di laman sosial macam juru solek lain buat. Kalau saya ada ilmu, sekurang-kurangnya boleh buat kerja separuh masa.

"Tapi apa-apapun keputusan dibuat selepas berbincang dengan ibu dan ayah kerana komitmen di rumah dan perbelanjaan keluarga lebih bergantung kepada saya," katanya yang sudah menjadi pengawal keselamatan sekolah setahun lalu.

Sementara itu, Presiden GPMS Zambri Mohd Isa berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berasa terpanggil untuk menawarkan khidmat nasihat serta beberapa cadangan kepada Yuni selepas melihat individu itu mempunyai potensi untuk berjaya pada masa akan datang.

"Kami menunjukkan saluran dan membuka peluang yang ada kepada Yuni untuk membantunya meneruskan pelajaran hingga ke menara gading seperti yang kami lakukan kepada anak-anak muda lain yang mengalami nasib sama seperti Yuni.

Zambri dan Yuni ketika perjumpaan dengan GPMS. FOTO Hafiz Sohaimi
Zambri dan Yuni ketika perjumpaan dengan GPMS. FOTO Hafiz Sohaimi

"Terpulang kepada Yuni sama ada untuk mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau menyertai kelas kemahiran bersama institusi yang bekerjasama dengan kami seperti GiatMARA dan IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara).

"Pilihan di tangan Yuni, kami akan bantu dan memberinya masa selama manapun untuk dia mempertimbangkan keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Menurut Zambri, pihaknya merasakan Yuni perlu dibantu selepas Harian Metro menyiarkan kisah Yuni yang terpaksa berhenti sekolah lima tahun lalu dan terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan Yuni tidak kisah dikecam di media sosial selepas gambarnya memakai pakaian seragam pengawal keselamatan tular sejak Isnin.

Yuni yang juga pernah bekerja sebagai juruwang dan jurujual berkata, dia sanggup berhenti sekolah untuk bekerja dan pengorbanannya itu adalah demi keluarga.

Berita berkaitan

Pengorbanan Yuni demi keluarga [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 9:49 PM