TAMPIL mempesona pada hari bahagia. FOTO Salhani Ibrahim
TAMPIL mempesona pada hari bahagia. FOTO Salhani Ibrahim
Yusliza Yakimir Abd Talib

BERTUBUH gempal seharusnya bukan halangan buat anda tampil mempesonakan pada hari bahagia, malah dengan solekan tepat, kekurangan wajah dapat disembunyikan sehingga anda mampu tampil cantik terutama saat bergelar raja sehari.

Apa yang penting, bagi pengantin berwajah tembam, solekan perlulah disesuaikan dengan bentuk muka untuk menampilkan efek lebih runcing dan pipi yang tidak terlalu menonjol.

Menurut jurusolek, @cncyanggunbeauty_official, teknik bayangan dan kontur misalnya antara elemen penting yang perlu dititikberatkan kerana jika silap gaya, wajah akan kelihatan lebih tembam dan lebar.

Katanya, untuk melindungi kekurangan atau masalah dihadapi kebanyakan pengantin yang memiliki bentuk wajah bulat dan tembam tidak mustahil dan tidak sesukar disangka.

Selepas membersihkan wajah, solekan dimulakan dengan menyapu penyamar noda pada bahagian wajah untuk menutup cela atau parut kecil sebelum memulakan solekan mata.

Selepas itu, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensel mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap adalah pilihan terbaik.

Solekan mata yang sempurna mampu menyerlahkan dimensi wajah menarik, sekali gus menjadikan penampilan tampak lebih anggun. Pada masa sama, teknik solekan mata yang betul juga mampu memberikan imbangan pada keseluruhan riasan wajah agar tampak sempurna.

Katanya, bagi menampilkan gaya lebih memukau, sapuan pengilat untuk mata agar tampak bercahaya dan menyerlah. Teknik yang digunakan dinamakan ‘half cut crease’ iaitu melapiskan penyamar noda atau alas bedak di atas pembayang mata pada separuh kelopak mata.

Kemudian katanya, ‘matikan’ penyamar noda dengan meletakkan alas pembayang mata diikuti pengilat mata.

“Untuk solekan pengantin biasanya dimulakan dengan solekan mata terlebih dulu. Ini bagi memastikan sapuan alas bedak selepas itu tidak comot dan tidak perlu diperbetulkan dengan kerap.

“Ada sesetengah orang matanya amat sensitif jika dikenakan pembayang mata atau celak hingga mudah mengeluarkan air mata. Oleh itu paling selamat adalah menyiapkan solekan mata terlebih dulu sebelum bahagian lain,” katanya.

Kemaskan bulu mata menggunakan maskara dan bulu mata palsu bagi menonjolkan bahagian ini. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Selain mata, pewarna pipi juga perlu lebih menyerlah. Untuk itu, pemilihan rona merah jambu dan merah samar mampu memperlihatkan sisi si gadis yang ayu dan menawan. Apabila tersenyum, pasti warna pemerah pipi akan menampakkan tulang pipi yang sedikit menonjol.

Bagi bibir pula, pastikan anda menggunakan warna semula jadi seperti merah jambu yang akan membuatkan wajah kelihatan lebih muda.

Selain itu, bentuk hidung yang kurang mancung, dagu yang kurang runcing atau pipi yang kelihatan tembam sebenarnya boleh diubah dengan solekan bayangan.

Anda juga dapat melakukan teknik bayangan untuk mendapatkan kesan wajah yang sempurna dari segi simetri. Cara ini juga boleh menutup kekurangan wajah sambil menonjolkan kelebihannya.

LANGKAH SOLEKAN:

1. WAJAH sebelum disolek. FOTO Salhani Ibrahim
1. WAJAH sebelum disolek. FOTO Salhani Ibrahim

2. PENYAMAR noda disapukan pada bahagian lebih gelap diikuti membentuk kening dengan pensel kening. FOTO Salhani Ibrahim
2. PENYAMAR noda disapukan pada bahagian lebih gelap diikuti membentuk kening dengan pensel kening. FOTO Salhani Ibrahim

3. SOLEKAN mata guna teknik ‘half cut crease’. FOTO Salhani Ibrahim
3. SOLEKAN mata guna teknik ‘half cut crease’. FOTO Salhani Ibrahim

4. RATAKAN alas bedak di seluruh wajah diikuti teknik kontur dan bayangan untuk efek wajah lebih tirus. FOTO Salhani Ibrahim
4. RATAKAN alas bedak di seluruh wajah diikuti teknik kontur dan bayangan untuk efek wajah lebih tirus. FOTO Salhani Ibrahim

5. RATAKAN bedak tabur untuk ‘mematikan’ alas bedak agar solekan lebih tahan lama dan tidak merekah. FOTO Salhani Ibrahim
5. RATAKAN bedak tabur untuk ‘mematikan’ alas bedak agar solekan lebih tahan lama dan tidak merekah. FOTO Salhani Ibrahim

6.SAPUKAN pemerah pipi. FOTO Salhani Ibrahim
6.SAPUKAN pemerah pipi. FOTO Salhani Ibrahim

7.SAPUKAN gincu bibir warna semula jadi. FOTO Salhani Ibrahim
7.SAPUKAN gincu bibir warna semula jadi. FOTO Salhani Ibrahim

8.PENGANTIN bertubuh gempal tampil menawan pada hari bahagia. FOTO Salhani Ibrahim
8.PENGANTIN bertubuh gempal tampil menawan pada hari bahagia. FOTO Salhani Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 12:36 PM