RAJA Azura puas dapat berikan persembahan terakhir yang diinginkannya.
RAJA Azura puas dapat berikan persembahan terakhir yang diinginkannya.
Georgie Joseph


Walaupun tampil dengan persembahan yang bersungguh-sungguh, Raja Azura terpaksa akur apabila perjalanannya dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4) terhenti malam kelmarin.

Mempersembahkan lagu Perhaps Perhaps Perhaps dengan konsep Broadway diiringi penari, nampaknya ia masih kurang meyakinkan tiga juri Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Yusof Haslam.

Raja Azura bagaimanapun berpuas hati dan akur dengan penyingkiran itu yang dia sendiri sudah menjangkanya.

“Selepas persembahan, saya sebenarnya sudah pasti markah rendah. Banyak kekurangan dari segi vokal kerana sebelum naik pentas pun tiba-tiba saya batuk tanpa henti.

“Bagaimanapun, saya cukup puas kerana berjaya memberi persembahan terakhir yang saya inginkan. Tiada penyesalan kerana jelas peserta lain memang hebat-hebat belaka,” katanya.

Di sebalik penyingkiran, pengacara dan pelakon itu menyifatkan ada hikmah juga perjalanannya terhenti. Menurutnya, sejak menyertai GV4, dia belum sempat berehat.

“Saya bersyukur juga apabila tersingkir. Saya sebenarnya sangat penat terbabit dalam GV4 dan kami hanya dapat berehat pada Isnin, itu pun sehari saja.

“Kini barulah saya dapat berehat dan meluangkan masa bersama anak. Tambahan pula sekarang tengah cuti sekolah dan mahu bawa mereka bercuti,” katanya.

Pada saingan minggu ketiga itu, pola persembahan setiap bintang semakin hebat apabila masing-masing mula menunjukkan kesungguhan untuk bertanding serius.

Bukan saja daripada segi vokal bahkan mereka turut menitikberatkan kreativiti dan konsep persembahan. Tiada lagi istilah sekadar cukup makan tetapi semua berusaha mengagumkan juri.

Bagaimanapun, malam itu jelas menjadi malam Liza Hanim apabila keluar daripada zon selesa dan menyanyikan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussin) yang berentak rock.

Bahkan, disebabkan persembahan itu dia turut mendapat ‘standing ovation’ daripada Hetty sendiri yang jelas terkesan dengan persembahannya.

Liza juga dipilih sebagai pemenang Anugerah Gelora Vida Vaganza sekali gus mendapat markah tertinggi dengan 83.4 peratus diikuti Firman (77.6 peratus), Lan Kristal (77.6 peratus), Hazami (75.6 peratus), Tia Jinbara (75.6 peratus) dan Aishah (75.4 peratus).

LIZA Hanim berjaya membuatkan juri dan penonton terpegun.
LIZA Hanim berjaya membuatkan juri dan penonton terpegun.

Sementara, Syura pula mendapat 73.8 peratus diikuti Haida (71.8 peratus), Aqasha (63.4 peratus), Elyana (61.4 peratus) dan Raja Azura di tangga terakhir dengan 61.2 peratus.

Pada malam itu, Firman menyanyikan lagu Zalikha nyanyian asal Floor 88, Lan Kristal (Sayang Sayang - Aliff Aziz), Hazami (Joget Kenangan Terindah - Sudirman), Tia Jinbara (Bila Resah - Anuar Zain), Aishah (Terukir Di Bintang - Yuna), Syura (Knock Knock - Elizabeth Tan), Haida (Kenangan Bersamamu - Lefthanded), Aqasha (Cinta Tak Karuan - Amigos), dan Elyana (Wulan Merindu - Cici Faramida).

Berkongsi mengenai persembahan bintang, Hetty mengakui setiap bintang mula mengambil serius ia satu pertandingan.

“Masing-masing sudah sedar saingan mereka memang kuat. Jadi sekarang mereka perlu atur strategi persembahan terbaik untuk memastikan tampil dengan persembahan berkesan.

“Misalnya, apabila mendapat lagu biasa, mereka perlu jadikan nyanyian mereka luar biasa. Daripada segi vokal, tidak dinafikan memang semuanya sudah hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 4:20 AM