NABIL dan Jihan tetap menghiburkan.
NABIL dan Jihan tetap menghiburkan.
AZHARINA, Ayai dan Nana membuat persembahan.
AZHARINA, Ayai dan Nana membuat persembahan.
AISHAH mendapat tepukan gemuruh.
AISHAH mendapat tepukan gemuruh.
Georgie Joseph


Ahad lalu, program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) terbitan Astro membuka tirai dengan persembahan 12 bintang yang masing-masing menunjukkan taring.

Menggabungkan anak seni dari era berbeza, penyanyi senior nampaknya begitu menyinar dan mendapat pujian tiga juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Profesor Datuk Cef Wan.

Jika diteliti, pujian kepada penyanyi lama seperti Aishah, Hazami dan Liza Hanim melambung tinggi. Tentu sekali mereka mendapat kredit lebih sesuai dengan pengalaman, kekuatan nama dan kemampuan yang tidak perlu dipertikai lagi.

Bagaimanapun, menurut Hetty yang juga juri tetap musim ini, tidak wujud unsur pilih kasih meski pun dia sendiri kenal secara peribadi beberapa bintang yang bertanding. Baginya, penjurian telus tetap akan berlangsung memandangkan ia satu pertandingan.

“Secara keseluruhannya, semua peserta yang bertanding sudah memiliki kualiti terbaik sebagai penyanyi. Mereka masing-masing ada kelebihan tersendiri dan layak bertanding di pentas Gegar Vaganza.

“Meskipun ada antaranya diakui hebat dan saya kenal rapat, tidak bermakna kami pilih kasih dalam menilai. Ini kerana sebagai juri kami harus jujur dan telus,” katanya.

Hetty mengakui keputusannya menerima tawaran menjadi juri tetap program itu dibuat selepas melihat senarai bintang bertanding. Antara faktor utamanya adalah disebabkan penyertaan penyanyi legenda Aishah.

“Ketika diberi tawaran menjadi juri GV4, perkara pertama yang saya tanya adalah pesertanya. Ternyata, banyak nama hebat yang bertanding menyebabkan saya sanggup untuk berulang-alik ke Malaysia walaupun terikat dengan banyak komitmen di seluruh Asia,” katanya.

Pada konsert minggu pembukaan itu, persembahan Aishah mendapat tepukan gemuruh penonton.

Mempersembahkan lagu keramatnya Janji Manismu, vokal penyanyi itu memukau meskipun menyanyi secara bersahaja.

Juri juga nampaknya terpegun sehingga Hetty berdiri sebaik persembahan Aishah tamat. Persembahan itu sekali gus meletakkan Aishah di tangga pertama dengan markah keseluruhan 96 peratus.

Bintang dari Indonesia, Firman pula membuat tindakan bijak dengan membuat susunan baru terhadap lagu keramatnya, Kehilangan. Penghayatannya mendapat pujian juri dan berjaya menduduki tempat kedua dengan markah 91 peratus.

Tempat ketiga dengan markah 90 peratus menjadi milik Hazami yang turut mempamerkan vokal cemerlang. Mempersembahkan lagu Mungkir Bahagia, penyanyi itu memberi saingan yang cukup sengit kepada peserta lain.

Liza Hanim yang menyanyikan lagu Siapa Sangka Siapa Menduga di tempat keempat dengan 87 peratus, diikuti Lan Kristal - Seragam Hitam (86 peratus), Tia Jinbara - Farhana (85 peratus), Elyana - Tak Tercapai Akalmu (85 peratus), Syura - Nazam Berkasih (82 peratus), Ferhad - Kasih Berubah (75 peratus), Aqasha - Embun (75 peratus), Haida - Zapin Usik-Mengusik (72 peratus), dan Raja Azura - Hati Terkunci (68 peratus).

Sementara itu, Elyana pula dinobatkan sebagai pemenang Bintang Paling Menyengat pada minggu itu.

Dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse, tiga juara musim terdahulu iaitu Ayai Ilusi, Siti Nordiana dan Azharina tampil membuat persembahan pembukaan. Tidak ketinggalan, Datuk Seri Vida bersama Mimi Fly menghangatkan suasana dengan persembahan lagu I Am Me.

Liza terkilan, Raja Azura bangga

Dicanang menjadi antara bintang berpotensi menjadi juara, Liza mengakui tidak dapat memberi persembahan sepenuh hati disebabkan masalah kesihatan.

“Sebenarnya sudah lebih seminggu saya kurang sihat dan hanya mampu memberi 60 peratus untuk persembahan itu. Saya tahu sebenarnya boleh buat jauh lebih baik daripada itu,” katanya.

Menyentuh harapan peminat yang mahu melihatnya menjadi juara, Liza melihat perkara itu sebagai satu motivasi untuknya memberikan persembahan terbaik setiap minggu.

“Syukur ramai memberikan sokongan luar biasa. Saya jadikan ia motivasi dan bukannya sebagai satu beban.

“Tidak dinafikan, setiap peserta ada sasaran tersendiri apabila masuk program ini. Begitu juga saya selain mahu menjadikan program ini sebagai pembuka jalan untuk kembali mewarnai semula industri muzik tanah air,” katanya.

Menampilkan persembahan tidak mengecewakan, Raja Azura mengakui gembira dapat menyertai GV4. Meskipun pembabitannya menjadi perdebatan ramai netizen, dia sama sekali tidak patah semangat.

“Saya tidak mahu ambil tahu sangat pandangan peminat yang kononnya tidak layak dan bakal tersingkir awal. Apabila menyertai GV4, saya cuma mahu berikan yang terbaik.

“Saya tidak kisah sekiranya keluar awal kerana sedar diri ini bukan penyanyi profesional seperti peserta lain. Bagaimanapun, saya bangga kerana dilayan seperti penyanyi sebenar dan merasai iringin muzik yang gah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:32 AM