Salman Hamat


TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dalam kejadian di Krubong, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tga tertuduh iaitu J Visvanathan, 32, K Shanmuganathan, 35, dan N Thiagu, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa meneruskan niat bersama dengan menyebabkan kematian M Arunasalam, 16, di sebuah bengkel membaiki lori di Kawasan Perindustrian Krubong, antara 5 petang hingga 8 malam, 4 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, dan hanya Shanmuganathan diwakili peguam A Mathan.

Norina kemudian menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia.

ANGGOTA polis membawa tiga tertuduh yang didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar sekolah di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
ANGGOTA polis membawa tiga tertuduh yang didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar sekolah di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad

Harian Metro pada 7 Disember lalu melaporkan orang awam menemui remaja terbabit di sebuah hentian bas di Ayer Keroh, sebelum menghantarnya ke Hospital Melaka, namun mangsa disahkan meninggal dunia 30 minit selepas diberi rawatan.

Dalam masa sama, tiga rakaman video remaja lelaki dipukul dipercayai di Krubong, tular di laman sosial Facebook, dan susulan itu polis menahan tiga lelaki termasuk bapa saudara mangsa di tiga lokasi berbeza.

Hasil siasatan dijalankan polis menafikan mangsa ditemui orang awam, sebaliknya ia adalah rekaan suspek untuk menutup perbuatan mereka. Mangsa juga dilaporkan dihantar sendiri oleh suspek ke hospital.

Berita berkaitan

Lagi suspek kes bunuh pelajar direman

Suspek kes bunuh M Arunasalam ditahan

'Tiga video saling berkait'

Ada kesan lebam, birat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 3:10 PM