REEN Rahim. FOTO MindOrder Sdn Bhd
REEN Rahim. FOTO MindOrder Sdn Bhd
Rudy Imran Shamsudin

Peminat setia pelakon Reen Rahim pasti sedar akan keterbukaannya dalam berkongsi soal hati yang dilihat mula memuat naik gambar bersama kekasih ke laman sosial.

Walaupun apa yang dikongsikan itu samar, umum mula tahu pelakon filem Rempit Sampai Langit ini dilamun cinta.

Bagaimanapun, ketika ditemui, Reen, 29, atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim menjelaskan hanya setakat itu dia boleh berkongsi mengenai kekasihnya.

“Keterbukaan itu berlaku kerana dalam hidup kadangkala kita perlu yakin dengan situasi yang terjadi. Walaupun bahagia, saya tidak pernah meletak harapan tinggi terhadap hubungan yang belum ada ikatan sah,” katanya.

Menurut Reen, dia tidak mahu bercakap soal hati dan cinta membabitkan dirinya semata-mata, sebaliknya kenyataan diberi ini mewakili wanita sebayanya yang tidak pernah mengenal erti cinta sebenar, apatah lagi soal nikah kahwin.

“Sebagai wanita beragama Islam dan Melayu, pastinya harus percaya pada jodoh adalah ketentuan Allah. Jadi, selagi perkara itu tidak berlaku saya tidak mahu bercakap secara terbuka mengenainya.

“Saya baru ada teman lelaki, cuma untuk membicarakan secara terbuka mengenainya seakan satu tabu dalam budaya dan agama kita. Sekiranya saya bercakap lebih tetapi tiada jodoh antara kami, nanti saya yang akan dipersalahkan dan dituduh bersikap berlebih-lebihan sebelum ini.

“Saya menghormati perkara seperti itu dan masyarakat. Kita bukan hidup seorang diri di muka bumi ini. Sebaik mungkin saya tidak mahu perhubungan yang jalin ini mengundang kata-kata yang tidak manis atau doa tidak baik. Ia dibimbangi akan memberi implikasi yang selalunya tidak akan menyebelahi wanita seperti saya dan keluarga kami,” katanya.

Menurut Reen lagi, seperti juga wanita lain, dia inginkan kebahagiaan hidup di samping lelaki yang dicintai, cuma sebagai wanita dia punya batasan yang perlu dijaga.

Baginya, wanita tidak seharusnya bercakap lebih-lebih.

Mendengar penjelasan Reen, tentu ada yang berpandangan apa yang dikatakan itu ibarat ‘cakap tidak serupa bikin’. Jika benar, kenapa dia memuat naik gambar bersama kekasih?

Menjelaskan mengenai dakwaan berkenaan, Reen mempunyai alasan tersendiri terutama membabitkan anggota kelab peminatnya iaitu Reenduyou.

“Peminat saya tahu tiada perkara yang saya rahsiakan daripada mereka. Cukuplah sekadar mereka tahu dan siapa teman saya itu. Apa yang pasti ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak mahu berkongsi lebih-lebih.

“Saya tahu peminat ada hak untuk tahu, apatah lagi sepanjang menjadi anak seni merekalah yang menjadi tulang belakang dan menyokong segala apa yang dilakukan termasuk membeli tiket menonton filem lakonan saya.

“Saya melihatnya pada sudut positif. Apabila ada yang terserempak dengan saya bersama si dia, jadi tidaklah orang mengata kerana mereka sudah tahu dan saya pernah berkongsi mengenainya,” katanya.

REEN Rahim. FOTO MindOrder Sdn Bhd
REEN Rahim. FOTO MindOrder Sdn Bhd

Rempit Sampai Langit sangat istimewa

Terbaru Reen mengadakan sesi menonton filem terbaru lakonannya Rempit Sampai Langit bersama Reenduyou. Hampir 30 ahli kelab peminatnya menyertainya atas inisiatif sendiri.

Bercerita mengenai maklum balas diberikan peminat terhadap filem lakonannya, kata Reen, hampir semua menggemarinya dan mengatakan ia sangat lucu.

“Sebenarnya Rempit Sampai Langit yang diterbitkan Suhan Movies Sdn Bhd sangat istimewa kepada diri saya secara peribadi.

“Penggambaran filem ini dilakukan ketika saya baru bergelar juara program realiti TV, Pilih Kasih. Ia antara karya yang membuka peluang untuk saya mengembangkan bakat sebagai pelakon filem,” katanya.

Selepas membintangi filem ini, penerbit dan pengarah mula nampak bakat Reen tidak terhad pada drama semata-mata.

“Selepas Rempit Sampai Langit, banyak lagi tawaran berlakon filem yang saya terima antaranya Gangster Celop, Mawar Putih, Soulmate Hingga Jannah dan Balun,” katanya.

Menurut Reen, semua ini membuatkan peminat percaya dengan bakatnya dan mencalonkannya dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular BH 3.0 lalu.

“Sebenarnya sebagai pelakon saya tidak meletakkan dalam fikiran bahawa saya harus memberikan fokus kepada filem semata-mata. Malah saya tidak keberatan andai diberi watak kecil dalam filem. Saya sebenarnya mahu penggiat dan umum kenal saya sebagai pelakon tidak kira filem mahupun drama,” katanya.

Katanya, mungkin pada awal pembabitan dia pernah meletakkan sasaran berlakon drama bersiri untuk slot popular mahupun filem tetapi apa yang difikirkan sekarang ini adalah watak.

“Sepanjang 2017 bersama syarikat pengurusan Mindorder Sdn Bhd, mereka banyak memilih watak berat untuk saya yang lebih memberikan kepuasan dan cabaran baru. Jadi, pada masa akan datang sudah tentu saya mengharapkan yang lebih baik.

“Sehingga sekarang, saya tidak pernah menganggap filem atau drama yang dilakonkan itu bagus atau tidak. Saya juga tidak kesah ia filem gred A atau B, berbajet besar atau tidak, sebaliknya saya lebih menilai watak yang mahu dijayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 3:12 AM