Reen ingatkan jangan terpedaya. FOTO HM Digital/MAHZIR MAT ISA
Reen ingatkan jangan terpedaya. FOTO HM Digital/MAHZIR MAT ISA
Rudy Imran Shamsudin

PELAKON jelita, Reen Rahim mengingatkan kepada peminat supaya tidak terpedaya mengenai iklan skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dimuat naik ke laman Facebook (FB) miliknya, beberapa hari lalu.

FB Reen yang diceroboh. FOTO SCM Reen Rahim
FB Reen yang diceroboh. FOTO SCM Reen Rahim

Reen dihubungi, hari ini menjelaskan perkara itu tidak ada kaitan dengan dirinya kerana tidak lagi menggunakan akaun FB terbabit.

“Akaun FB saya diceroboh. Saya tidak pernah melakukan atau mengambil ‘review’ daripada orang perseorangan mahupun syarikat mahu mengiklankan mengenai pemasaran MLM itu,” katanya.

Jelas pelakon yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Town Mall, dia sebenarnya sudah lama tidak menggunakan akaun FB itu.

“Jujur saya sendiri sudah lama tidak menggunakan FB yang saya wujudkan sejak zaman persekolahan. Tambahan pula saya sudah tidak ingat kata laluannya,” katanya.

Tegas Reen lagi, dia tidak tahu bagaimana ada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh FB miliknya dan memuat naik iklan MLM itu.

“Disebabkan ada pihak menceroboh FB saya, saya dengan ini mengisytiharkan kepada semua orang saya tidak lagi menggunakan FB itu,” katanya.

Tambah Reen, dia tidak menyedari laman sosial itu diceroboh sehingga diberitahu ahli kelab peminatnya Reenduyou yang melaporkan kepadanya mengenai iklan MLM yang dimuat naik.

“Saya mahu semua orang tahu, saya tidak ada kaitan langsung dengan skim terbabit. Saya tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada terpengaruh dan tertipu dengan iklan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 3:06 PM