SISSY fokus pada karier seni. - FOTO Hazreen Mohamad
SISSY fokus pada karier seni. - FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


PENYANYI, Sissy Iman, 28 mengakui sudah melupakan salah faham yang berlaku ketika menyertai program realiti Famili Duo baru-baru ini.

"Saya sudah seratus peratus 'move on' dan tidak pandang ke belakang lagi.

"Saya dan mummy Mas Idayu juga sudah berbaik semula selepas pertandingan itu berakhir," katanya mengulas hubungannya dengan penyanyi Mas Idayu selepas insiden dalam program realiti terbabit.

Menurut Sissy atau nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil, dia juga akan membuat kemunculan pertama dengan Mas Idayu pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 yang berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini.

"Pentas ABPBH ini adalah pertemuan saya dan mummy Mas Idayu selepas program realiti Famili Duo berakhir.

"Secara peribadi, saya berasa teruja bakal berganding dengannya sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak itu nanti.

"Saya tidak berasa gementar berganding dengan mummy Mas Idayu, cuma kita tengok bagaimana maklum balas dan komen dari peminat nanti," katanya.

Sissy ditemui pada majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 35 yang berlangsung di The Agam, Sungai Penchala, kelmarin.

Mengenai penganjuran berprestij itu pula, kata Sissy, buat julung kalinya dia diberi kepercayaan sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak acara berprestij itu.

MAS Idayu bakal berganding dengan Sissy sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak ABPBH ke-35. - FOTO Hazreen Mohamad
MAS Idayu bakal berganding dengan Sissy sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak ABPBH ke-35. - FOTO Hazreen Mohamad

"Pada masa sama, saya juga bangga apabila diberi kepercayaan oleh penganjur kerana tidak pernah menjadi penyampai trofi dan selalunya saya hanya berada di belakang pentas.

"Walaupun saya tidak tercalon dalam mana-mana kategori, saya tetap beri sokongan pada acara berprestij ini dan akan menggalas tugas sebaiknya sebagai penyampai trofi," katanya.

Ditanya perkembangan album sulung fizikal yang dirakamkan di Studio Abbey Road, London pula, kata Sissy, dia bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang bagus dari peminat.

"Alhamdulillah, album fizikal itu sudah diulang cetak buat kali ketiga. Cetakan pertama dan kedua habis dijual.

"Cetakan ketiga pula sebanyak 1,000 unit. Cetakan kedua dan ketiga dijual dengan harga asal serta tidak ada diskaun seperti cetakan pertama.

"Selepas album fizikal, saya melancarkan album sama untuk versi digital pula pada 21 Julai ini," katanya.

Terdahulu, persembahan Sissy dan penyanyi Naim Daniel menerusi lagu Jampi nyanyian asal Hael Hussaini menerima komen pedas juri tetap program realiti Famili Duo, Mas Idayu yang menganggap mereka tidak membawakan lagu itu dengan baik.

Malah, Sissy juga tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika menerima komen pedas berkenaan serta meraih perhatian netizen.

Gara-gara kritikan pedas itu juga, Sissy juga membuat keputusan membatalkan pelancaran album sulungnya yang dirakamkan di Studio Abbey Road, London itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 6:48 AM