MOHD Amirul menziarah pusara  ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perah. FOTO Amran Yahya
MOHD Amirul menziarah pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perah. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


BERBEZA dengan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lain bersalaman dengan ibu bapa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir, Kuala Pilah, pula menziarahi pusara ibu bapanya sebelum menduduki peperiksaan.

Hanya itu yang dapat dilakukan Mohd Amirul Aiman Azizan, 17, selepas kehilangan ibu bapa sekelip mata akibat dilanggar tayar lori pasir yang tercabut di Kilometer 10 Jalan Kuala Pilah-Juasseh berhampiran Ladang Juasseh, 10 Ogos lalu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, sebelum ini setiap kali peperiksaan, dia akan bersalaman dan mencium ayah serta ibunya untuk memohon restu.

"Namun, ayah (Azizan Sahari, 43) dan ibu (Norbaiti Awang, 44) sudah tiada lagi, jadi saya menziarahi pusara mereka untuk menghilangkan kerinduan dan mengharapkan restu mereka.

"Saya akan menjawab peperiksaan dengan baik dan memenuhi permintaan ibu supaya mengejar cita-cita menyertai pasukan keselamatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perah, Batu Kikir, malam tadi.

MOHD Amirul mengulangkaji pelajaran sambil diperhatikan dua adiknya. FOTO Amran Yahya
MOHD Amirul mengulangkaji pelajaran sambil diperhatikan dua adiknya. FOTO Amran Yahya

Mohd Amirul berkata, dia sudah membuat persiapan sejak awal tahun lagi dengan mengikuti kelas tambahan dan tuisyen selain mengulangkaji pelajaran di rumah

Katanya, kakak Nur Shamilatul Akhma, 20, yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan dan abang Mohd Aqmarul Hisham, 19, yang menuntut di UiTM Segamat, turut menghubunginya mendoakan kejayaan.

Mohd Amirul bersama dua adiknya Mohd Aidil Adli, 15, dan Nur Fazlul Ain, 12, dijaga ibu saudaranya di Taman Perumahan Peringkat 3, Batu Kikir.

"Kedua-dua adik saya juga baru menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Walaupun baru saja kehilangan ibu bapa tetapi adik saya dapat menjawab peperiksaan dengan tenang," katanya.

Dalam kejadian 10.55 pagi, Azizan dan Norbaiti yang dalam perjalanan pulang selepas mendapat rawatan di klinik kesihatanmeninggal dunia selepas motosikal dinaiki dirempuh tayar lori yang tercabut.

Berita berkaitan:

Jaga adik baik-baik

Tragedi tayar lori tercabut

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:49 PM