KEADAAN kandang yang kosong di Kampung Sungai Taling, Batu Kikir.
KEADAAN kandang yang kosong di Kampung Sungai Taling, Batu Kikir.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penternak yang masih menunaikan umrah di Tanah Suci menerima ujian berat apabila kehilangan 54 lembu bernilai lebih RM200,000 di sebuah padang ragut di Kampung Sungai Taling, Batu Kikir, di sini, kelmarin.

Penternak berusia 60-an itu mengerjakan ibadat itu sejak minggu lalu dan mengupah seorang lelaki warga Indonesia untuk menjaga ternakannya.

Sumber berkata, kehilangan haiwan itu disedari adik ipar mangsa berusia 56 tahun sebaik menerima panggilan ibu saudara jam 4 petang, memaklumkan semua lembu tiada dalam kandang.

“Sehubungan itu ahli keluarga ke lokasi dan mendapati 54 lembu hilang. Lebih mengejutkan mereka apabila menemui kesan tayar kenderaan di kandang berkeluasan dua hektar itu,” katanya.

Ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali Budiman, 30, berkata, dia yang ke kandang menemui kesan darah yang dikambus dengan tanah.

“Bagaikan misteri apabila sekelip mata 54 lembu ini hilang dan kami percaya ia dilarikan penjenayah,” katanya.

Budiman berkata, haiwan dengan jumlah yang banyak itu mungkin disuntik ubat pelali atau dihalau ke hutan berdekatan sebelum dimasuk dalam lori di jalan utama.

“Secara logik, kenderaan besar sukar memasuki kandang berikutan laluan di sini kecil. Lembu itu mungkin diusir ke hutan sebelum dinaikkan ke dalam kenderaan,” katanya.

Dia yang menemui kesan darah di kandang percaya ada antara lembu itu turut disembelih.

“Selain itu, saya turut menemui kesan jejak lembu dikejar selain najis yang masih baru. Buat masa ini kami masih mencari 54 lembu itu, namun seekor pun tidak ditemui,” katanya.

Budiman berkata, sehubungan kehilangan itu, ibu mentuanya yang juga seorang guru membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir, di sini, pada hari kejadian.

Katanya, lembu itu milik bapa saudaranya yang ketika itu menunaikan umrah di Makkah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:52 AM