SEMUA lagu ditampilkan ada cerita tersendiri dan makna mendalam.
SEMUA lagu ditampilkan ada cerita tersendiri dan makna mendalam.
Syanty Octavia Amry


Memasang impian bergelar penyanyi sejak kecil, pelakon Nur Fazura Sharifuddin, 34, teruja apabila kini mempunyai sebuah album.

Dilancarkan hari ini, Fazura pada awalnya hanya berharap tampil dengan single, namun sudah tertulis rezekinya apabila Universal Music sudi merealisasikan hasratnya.

Diberi judul Fazura, album itu memuatkan sembilan karya yang dihasilkan komposer ternama.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan adanya album ini. Saya memang suka menyanyi sejak kecil dan kini mempunyai album sendiri.

"Ketika diberi peluang menyanyi saya fikir cukuplah ada single saja kerana ia sekadar untuk menghiburkan hati.

"Tak sangka Universal sudi menerbitkan album ini dan ia menjadikan impian saya lebih manis," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan komposer, Fazura berkata ada di antara mereka menawarkan diri dan ada juga yang dimahukannya.

"Saya gembira dengan lagu dalam album ini. Bekerja pula dengan komposer hebat dan berpengalaman, awalnya memang saya bimbang serta sedikit tertekan.

"Syukur kerana mereka semua baik-baik belaka dan banyak membantu. Mereka juga percayakan bakat saya," katanya.

Dalam pada itu, Fazura berharap setiap lagu yang dimuatkan di dalam album itu memberi inspirasi kepada peminat.

"Boleh dikatakan semua lagu yang saya tampilkan ada cerita tersendiri dan punya makna mendalam.

"Ada juga beberapa lagu seperti Hanya Tuhan Yang Tahu sangat bererti buat saya dan liriknya boleh dikaitkan dengan semua orang," katanya.

Menurut Fazura, lakonan dan nyanyian memiliki nikmat berbeza.

"Kedua-dua kerjaya ini dekat di hati saya. Jika berlakon, saya dapat jadi orang lain menerusi watak yang dibawakan.

"Apabila menyanyi, saya akan mencurahkan sepenuh perasaan terhadap lagu yang disampaikan," katanya.

Utamakan lakonan

Walaupun sudah ada album, dunia lakonan tetap jadi keutamaan pelakon jelita ini. Malah dia mengakui jadual penggambaran yang padat menyebabkan album yang sepatutnya berada di pasaran pada September lalu lambat dilancarkan.

"Jadual seni saya sangat padat. Lakonan adalah semangat saya dan akan terus berlakon.

"Lagipun, saya mahu apa yang dilakukan dapat memberi sumbangan kepada industri. Tidak kiralah sama ada menyanyi ataupun berlakon," katanya.

Baru selesai menjalani penggambaran filem di Iran, Fazura turut berkongsi pengalamannya selama dua minggu berada di negara itu.

Filem TV arahan Bernard Chauly bertajuk Lahzeye Bi Payan itu bakal disiarkan di saluran Astro First pada Februari tahun depan.

"Saya tak pernah terfikir akan berada di Iran. Bernard mahu saya keluar dari zon selesa dan banyak pengalaman baru saya lalui sepanjang berada di sana.

"Pasukan kru di sana sangat profesional. Filem ini dalam bahasa Inggeris sepenuhnya," katanya.

Fazura berkata, selain ditayangkan di Malaysia, filem itu bakal dipersembahkan di Festival Filem Iran pada Jun 2018.

Oleh itu, dia meletakkan harapan tinggi supaya menjadi pembuka jalan kepadanya untuk mencipta nama di Iran.

Selain karya terbabit, filem gandingannya bersama Fattah berjudul Wanita Terindah juga akan menemui penonton.

"Peminat mahu kami bergandingan sekali lagi selepas kejayaan drama Hero Seorang Cinderella.

"Apabila ada yang mendoakan kami untuk terus bersama sebagai kekasih saya okey saja kerana mereka mahu yang baik-baik untuk saya. Tiada sebab untuk saya marah atau tidak suka," katanya.

Fazura berkata, mungkin kerana keserasian dalam drama menyebabkan peminat berharap dia dan Fattah terus bersama.

"Saya tiada masalah dengan hal ini. Mungkin sekarang mereka mahu lihat saya dengan Fattah, mana tahu akan datang apabila saya bergandingan dengan pelakon lelaki lain mereka akan bercakap hal sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:40 AM